SLDB mulakan tanaman Durian Musang King

NABAWAN :  Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) akan memulakan projek tanaman durian musang king dalam masa terdekat.

Pengerusinya, Datuk Abdul Ghani Mohd Yassin berkata, aktiviti tanaman tambahan itu melibatkan kawasan seluas 100 hektar di daerah Sipitang secara berfasa menggunakan bekalan bibit dari Raub, Pahang.

“Kita akan memulakan projek tanaman durian musang king di tapak tanah seluas lima  hektar di daerah Sipitang termasuk tanah rumah kediaman para peneroka.

“Buat masa ini, seramai 10 hingga 20 orang terlibat menjayakan program  penanaman bagi lima hektar sebelum mencapai 100 hektar fasa demi fasa,” katanya.

Beliau berkata demikian beliau selepas majlis penyerahan pendapatan peneroka dan dividen kepada peserta dan pekebun kecil bagi tahun 2021 oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam Majlis Iftar Ramadan Bersama SLDB di Masjid Al-Hidayah, disini semalam.

Abdul Ghani berkata, projek itu menerima pelaburan daripada pelabur tempatan untuk membangunkan tanah-tanah terbiar.

Katanya, prestasi agihan dividen terkumpul  pada tahun 2021 kepada peneroka dan peserta berjumlah RM21 juta berbanding RM3.4 juta pada tahun 2020.

“Ini merupakan satu pencapaian yang amat tinggi direkodkan oleh Lembaga dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.

“Antara faktor utama penyumbang kepada pencapaian ini adalah peningkatan pengeluaran hasil sawit iaitu sebanyak 68,000 tan metrik pada tahun 2021 berbanding 53,000 tan metrik tahun 2020.

“Selain itu, peningkatan harga sawit yang amat memberangsangkan juga adalah faktor utama penghasilan dividen yang baik.  Harga purata Buah Tandan Segar (BTS) bagi 2021 mencatatkan RM867 per tan metrik pada tahun 2021  berbanding RM426 per tan metrik tahun 2020,” katanya.

Tambah beliau, setakat suku tahun pertama 2022, SLDB telah membayar RM5 juta berbanding anggaran belanjawan 2022 sebanyak RM3.4 juta.

“Walau bagaimanapun, kita masih mencari ruang yang terbaik untuk menambah pendapatan peneroka bukan sahaja hasil komoditi, tetapi juga hasil daripada program kita seperti aktiviti tanaman nenas, sayuran dan sebagainya termasuk durian musang king,” katanya.-SM

Leave a Reply

Your email address will not be published.