Semporna tawarkan tontonan dan penyelidikan mamalia laut

SEMPORNA: Penemuan empat ekor ikan paus orcas (paus pembunuh) bersama dua ekor anaknya di Pulau Sipadan di sini bulan lepas, membuktikan kepentingan wilayah Semporna sebagai lokasi penyelidikan setasea termasuk usaha pemuliharaan di kawasan itu.

Rakaman penemuan ikan paus pembunuh itu dimuat naik di media sosial oleh operator selam Scuba Junkie yang menunjukkan kumpulan ikan paus berkenaan itu berenang-renang ke utara Sipadan dengan salah seekor menyemburkan air ke permukaan sambil ekornya melibas, umpama suatu bentuk komunikasi antara orcas atau sebagai peringatan untuk menjauhkan diri.

Anggota jawatankuasa anugerah Persatuan Mamalia Laut (SMM) Dr Lindsay Porter berkata bagi kebanyakan spesies mamalia laut yang ditemukan di wilayah Semporna, ia didapati belum dapat membiasakan diri di kawasan itu.

“Ini mungkin secara bermusim, bagi memenuhi aspek kritikal dalam pola kitaran hidup, misalnya menemukan tempat tinggal untuk ibu dan anaknya – seperti penemuan orca pada minggu lepas – atau bersifat sementara, sebagai sebahagian daripada laluan migrasi atau laluan lautan yang lebih jauh,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Setakat ini, terdapat 21 spesies mamalia laut telah direkodkan di Semporna dengan kebanyakannya adalah spesies lautan atau perairan dalam.

Menurut Porter, kerjasama dengan Scuba Junkie SEAS, sebuah organisasi pemuliharaan laut yang bukan bermotifkan keuntungan sambil dibantu oleh operator selam skuba, telah membolehkan latihan diberikan kepada kakitangan pengendali penyelam tempatan supaya gambar yang baik dapat dirakam dan penerangan lebih jelas dapat diberikan daripada pertemuan seperti itu.
“Usaha ini, sangat membantu untuk mendokumentasikan spesies lain dengan jelas. Ia amat mengembirakan dengan penemuan spesies ini di daerah Sipadan dan mendapat kerjasama daripada komuniti penyelam terlibat yang begitu bersemangat membantu dalam penyelidikan kami,” katanya.

Menurut Dr Porter, pengendali selam skuba juga turut membantu penyelidikan berkenaan dengan menggunakan monitor akustik di dasar laut untuk merakam suara mamalia laut dan melalui kaedah itu, pengenalan spesies dapat dilakukan dengan kerap.

“Penggunaan akustik telah memungkinkan kita untuk mengawasi kawasan ini secara lebih konsisten, yang bermaksud bahawa pengenalan spesies tidak hanya bergantung hanya pada peluang penampakan tetapi rakaman akustik turut memberikan kita rakaman terperinci bunyi mamalia laut dan gambaran yang lebih jelas mengenai penggunaan kawasan itu oleh mamalia terlibat,” tambahnya.

Sementara itu, Pengurus Konservasi Scuba Junkie SEAS David McCann dalam kenyataan sama berkata bahawa beliau gembira dapat bekerjasama dengan penyelidik dan badan bukan kerajaan (NGO) lain untuk memahami lebih mendalam mengenai persekitaran laut yang unik di rantau ini.

“Misalnya, ini bukan pertama kalinya kita melihat orca dengan anaknya di daerah ini – terutama ada pertemuan luar biasa ketika penyelam dengan Scuba Junkie menyaksikan orca dan anaknya memakan ikan sunfish pada tahun 2019.

“Ini dapat mengkaji sama ada kawasan ini penting terhadap peranan ibu dan anaknya dan ia menjadi sangat menarik bagi banyak pihak,” katanya yang begitu teruja untuk mendalami data yang direkodkan di dalam laut.

Scuba Junkie SEAS, sebuah organisasi pemuliharaan marin yang berpusat di Scuba Junkie’s Mabul Beach Resort di sini, mendapat dana dari SMM dan bekerjasama dengan penyelidik untuk mengumpulkan data mengenai mamalia laut yang ditemukan di kawasan itu dan membolehkan pengenalan yang lebih tepat dilakukan — sumber Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *