Semak semula kontrak GLC negeri yang merugikan – Hajiji Noor
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengarahkan semakan semula terhadap semua perjanjian dan kontrak syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau agensi negeri yang tidak menunjukkan prestasi memuaskan, selain merugikan kerajaan.
Perkara itu ditekankan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pada Mesyuarat Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah Siri Ke-120 Bil 1/2022, di Menara Kinabalu, di sini, hari ini.
Katanya, semakan semula itu perlu disegerakan bagi memastikan semua GLC negeri mematuhi setiap perjanjian dan kontrak, sekali gus mencatat prestasi yang baik dan mampu menyumbang hasil kepada kerajaan negeri.
Selaras dengan itu, beliau mengingatkan pegawai yang ditugaskan untuk memeterai perjanjian dan kontrak di agensi atau GLC yang terbabit supaya mengambil kira kepentingan negeri.
“Mana-mana agensi kerajaan apabila buat perjanjian, pastikan (perjanjian) itu mengambil kira kepentingan negeri. Pegawai yang terbabit, termasuk pegawai undang-undang kena tengok dan baca dengan teliti setiap isi kandungan perjanjian,” katanya ketika mempengerusikan mesyuarat berkenaan.
Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah, Datuk Dr Jeffrey Kitingan; Pengarah Yayasan Sabah selaku Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd (ICSB), Datuk Ghulam Haidar Khan Bahadar dan Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan.
Hajiji yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah turut mengalu-alukan pelantikan dua lagi Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Sabah yang baharu iaitu Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Zainudin Aman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Tah Nia Jaman.
Pada mesyuarat itu, Hajiji turut mengumumkan pencapaian ICSB selaku jentera pelaburan Kumpulan Yayasan Sabah yang berjaya meningkatkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM424 juta pada tahun lalu berbanding RM112 juta pada 2020.
“Kenaikan ini adalah sebanyak RM312 juta atau empat kali ganda berbanding tahun sebelumnya, menjadikannya kenaikan tertinggi yang dicatat ICSB dalam tempoh sembilan tahun,” katanya.
Sementara itu, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, Kumpulan ICSB turut mencatat kenaikan ketara hasil pendapatan daripada RM819 juta pada 2020 kepada RM1.2 bilion pada 2021.
Peningkatan sebanyak 45 peratus atau RM369 juta itu, katanya, adalah yang tertinggi dicatatkan oleh ICSB sejak 2013.
“Bagi Kumpulan Yayasan Sabah pula, lebihan (surplus) sebelum cukai pada 2021 ialah RM358.12 juta, berbanding lebihan pendapatan sebelum cukai pada 2020 sebanyak RM18.5 juta, iaitu peningkatan sebanyak RM339.62 juta atau 1836 peratus,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan ketara dalam lebihan pendapatan sebelum cukai pada 2021 adalah disebabkan peningkatan hasil pada 2021 yang berjumlah RM1.2 bilion berbanding pendapatan pada 2020 yang berjumlah RM830.43 juta.
Katanya, beliau juga mahu melihat anak syarikat ICSB diperkasakan agar tidak menjadi bebanan dan masalah kepada Yayasan Sabah.
“Pelantikan Pengerusi Lembaga Pengarah dan Board Of Governor UCSF (University College Sabah Foundation) dan Naib Canselor baharu umpamanya, diharap dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi UCSF.
“Begitu juga dengan Kolej Teknikal Yayasan Sabah (KTYS), saya mahu masalah yang dihadapi dapat diatasi dengan pantas dan dapat menarik lebih ramai pelajar baharu, sekali gus membuka peluang lebih ramai anak Sabah melanjutkan pelajaran khususnya dalam bidang teknikal,” katanya. -BH