SEDIA beri 300 motosikal kepada belia

KOTA KINABALU: Pihak Berkuasa Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA) menyumbangkan 300 motosikal Modenas Kriss 110MF sebagai manfaat kepada belia seluruh Sabah yang terlibat dalam ekonomi gig di bawah inisiatif BIZRIDER300.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan 100 buah motosikal untuk kawasan Pantai Barat semasa majlis Penyerahan Bantuan Motosikal โ€œBizRider300โ€ di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini hari ini.

Motosikal itu juga akan diagihkan secara berperingkat kepada belia di pantai timur, di bawah inisiatif itu dengan kerjasama Delivery Hero Malaysia Sdn Bhd atau Food Panda.

Berucap pada majlis penyampaian itu, Hajiji berkata beliau mengalu-alukan inisiatif itu kerana ia akan menyediakan pekerjaan segera kepada penerima yang layak yang akan diambil sebagai penunggang rakan kongsi untuk Foodpanda. Inisiatif ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan 736 permohonan, melebihi sasaran 300 yang diperuntukkan oleh SEDIA.

โ€œSehubungan itu, kerajaan akan memperluaskan program ini supaya lebih ramai belia yang menganggur akan mendapat peluang pekerjaan,โ€ katanya.

Hajiji berkata inisiatif BIZRIDER300 diwujudkan kerana Kerajaan Negeri bimbang tentang kadar kemiskinan dan pengangguran di kalangan belia di Sabah.

โ€œBelia tidak akan pernah dipinggirkan. Sebagai generasi masa depan, agenda pembangunan bagi belia perlu dilaksanakan berdasarkan keperluan semasa dan cabaran masa hadapan.

โ€œSebab itu Kerajaan konsisten dalam memberikan bantuan dan galakan untuk mereka terlibat dalam ekonomi melalui pelbagai inisiatif pendidikan, pembangunan modal insan dan dalam ekosistem perniagaan,โ€ katanya.

Dalam Belanjawan Negeri tahun ini, kerajaan melalui Kementerian Belia dan Sukan telah memperuntukkan RM10 juta untuk melaksanakan inisiatif baharu, program Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS) untuk membantu usahawan muda yang terjejas akibat pandemik COVID-19 selain membantu mereka memulakan perniagaan sendiri.

Terdahulu, Hajiji memuji Foodpanda kerana menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat mendaftarkan lebih 5,000 di seluruh negeri sebagai rakan kongsinya dalam penghantaran makanan.

โ€œSaya mengalu-alukan usaha Foodpanda dan syarikat lain untuk mengembangkan kawasan perkhidmatan mereka termasuk ke kawasan luar bandar,โ€ katanya.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Negeri Datoโ€™ Sarul Bahiyah Abu, Ketua Eksekutif SEDIA Datuk Seri Hashim Paijan dan Pengarah Urusan Delivery Hero (M) Sdn Bhd, Sayantan Das. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *