SEAC bakal ke China, tarik pelabur ke Sabah selepas pandemik COVID-19

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Majlis Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC) akan melawat ke China dalam usaha untuk menarik pelabur ke Sabah selepas pandemik COVID-19 berakhir kelak.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata pihaknya memerlukan bantuan dari China dalam merangka usaha memulihkan ekonomi negeri yang terjejas.

“Sabah memerlukan bantuan dan sokongan daripada China khususnya dalam sektor pelancongan, pelaburan harta tanah, infrastruktur, pertanian dan lain-lain bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Hubungan baik diantara China-Malaysia dan Sabah telah memberi manfaat kepada kedua-dua pihak terutamanya kepentingan perdagangan dan ekonomi.

“Oleh itu, kerajaan negeri akan meningkatkan hubungan baik dan kerja sama dua hala yang sedia terjalin dengan negara China,” katanya.

Beliau berkata demikian berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini selepas menerima
kunjungan hormat Konsul Jeneral Republik Rakyat China Kota Kinabalu, Liang Caide di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), hari ini.

Dalam kunjungan hormat terbabit, Liang menyerahkan 50,000 keping pelitup muka sumbangan Consulate General of the People’s of China in Kota Kinabalu dan Embassy of the People’s Republic of China in Malaysia kepada Hajiji.

Sementara itu, Liang berkata pihaknya memberi jaminan akan memberikan kerjasama dan bantuan yang diperlukan oleh Sabah kerana hubungan akrab China dan Malaysia.

Liang turut menjemput Hajiji melawat negara China selepas pandemik COVID-19, bagi melihat sendiri potensi pelaburan kedua-dua pihak, termasuk dalam bidang teknologi maklumat, pertanian dan lain-lain.

Dalam pada itu, Hajiji mewakili kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada China diatas sumbangan dan bantuan yang telah diberikan sejak pandemik COVID-19 melanda di Sabah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *