Sambutan ulang tahun Bandaraya Kota Kinabalu bakal diadakan secara dalam talian

KOTA KINABALU: Berikutan situasi pandemik COVID-19, sambutan ulang tahun Bandaraya Kota Kinabalu akan diadakan secara dalam talian pada 2 Februari ini.

Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Noorliza Awang Alip menyatakan beberapa acara telah diatur dengan amalan norma baharu seperti majlis tahlil serta kesyukuran dan pertandingan menari solo secara dalam talian.

“Disebabkan masalah pandemik COVID-19, kita tidak akan membuat acara sambutan besar-besaran.

 “Bagaimanapun, sesi engagement bersama masyarakat tetap diteruskan secara virtual pada 2 Februari ini.

“Acara sambutan akan dimulai dengan majlis tahlil dan doa kesyukuran yang kita jalankan secara dalam talian melibatkan warga DBKK.

“Selain itu, bagi menggalakkan penglibatan golongan muda DBKK juga menganjurkan pertandingan menari solo dan akan diadili secara dalam talian,” katanya beliau selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri, pada Selasa.

Beliau yang diiringi Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan), Junainah Abie mendedahkan, acara penanaman pokok dan pelancaran Pusat Bestari Bandaraya Kota Kinabalu yang dirancang lebih awal terpaksa ditangguh bagi mengelakkan penularan jangkitan wabak Covid-19.

Dalam pada itu, Noorazlina yang juga Mayor DBKK yang keenam dan wanita pertama dilantik ke jawatan tersebut sejak 28 Disember 2020 turut menjelaskan penggantungan kutipan caj letak kereta di ibu negeri tertakhluk kepada arahan semasa kerajaan.

“Kutipan caj letak kereta akan bermula pada 5 Februari 2021 di seluruh kawasan Kota Kinabalu dan sebarang perubahan adalah tertakluk kepada arahan semasa,” ujar beliau.

 Mengenai kadar pematuhan premis di pusat bandaraya terhadap Perintah Kawalan Pergerakan 2.0, beliau mengatakan, pihaknya sehingga kini masih belum menerima sebarang aduan terhadap pelanggaran Prosidur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

Malah, DBKK bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta para pegawai dari Ibu Pejabat Polis Daerah (Ipd) Kota Kinabalu sentiasa membuat pemantauan pematuhan SOP secara konsisten di sekitar Bandaraya Kota Kinabalu. — sumber Jabatan Penerangan Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *