Sabah yakin terima lebih sejuta kemasukan pelancong tahun ini – Hajiji

KOTA KINABALU: Sabah telah menerima kedatangan 857,675 pelancong setakat Julai tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 632 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas dengan anggaran perolehan sebanyak RM1.4 bilion.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata berikutan perkembangan ini, Sabah optimis untuk menerima lebih sejuta pengunjung tahun ini.

“Peningkatan ini didorong oleh sektor pelancongan domestik yang menyumbang sebanyak 785,123 pengunjung, peningkatan 582 peratus bagi tempoh sama.

“Berikutan pembukaan semula sempadan, jumlah ketibaan pelancong antarabangsa mencatatkan pertumbuhan ketara dengan 72,552 ketibaan, meningkat 3,680 peratus bagi tujuh bulan pertama 2022,” katanya selepas hotel terbaharu The Holiday Inn Express di sini hari ini.

Ketua Menteri juga gembira apabila mengetahui bahawa sambungan udara domestik dan antarabangsa, berada dalam aliran menaik.

“Pada masa ini, terdapat 367 penerbangan domestik dengan kapasiti 60,162 tempat duduk setiap minggu ke Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Kota Bahru, Terengganu, Labuan, Kuching, Miri, Sibu, Bintulu dan Mulu.

“Bagi sektor penerbangan antarabangsa, Sabah kini dihubungkan dengan lima destinasi antarabangsa iaitu Singapura, Bandar Seri Begawan (Brunei), Incheon (Korea Selatan), Manila (Filipina) dan Bangkok (Thailand) dengan 39 penerbangan seminggu dan kapasiti tempat duduk sebanyak 7,016,” katanya.

Hajiji berkata di peringkat domestik, usaha sedang ditumpukan kepada kerjasama pintar dengan rakan kongsi industri seperti syarikat penerbangan, persatuan pelancongan dan Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia).

“Selaras dengan usaha pemulihan pelancongan, pemberian insentif kepada syarikat penerbangan antarabangsa telah dilaksanakan sebagai sebahagian daripada strategi pemulihan pelancongan selepas wabak.

“Insentif itu bertujuan untuk menyokong dan menggalakkan syarikat penerbangan memulihkan sambungan udara, memulakan laluan antarabangsa baharu atau mengadakan penerbangan sewa khas ke Sabah. Ini penting memandangkan 96 peratus ketibaan pelancong ke Sabah adalah melalui udara,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *