Sabah tubuh jawatankuasa khas atasi isu buruh

KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi mengatasi isu buruh dalam industri perladangan dan pembinaan di negeri itu.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, isu buruh memang dihadapi negara ketika ini termasuk pengambilan dari negara lain yang dilihat agak berkurangan.

“Jadi di peringkat di negeri Sabah, kita telah menubuhkan satu jawatankuasa khas untuk melihat perkara ini kerana apabila isu buruh ini tidak diatasi memang ia akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi kita terutama yang bekerja di ladang-ladang dan juga sektor pembinaan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berhubung apa langkah kerajaan negeri untuk mengatasi isu buruh ketika ini.

Dalam pada itu, Hajiji turut memaklumkan kerajaan negeri juga menubuhkan satu jawatankuasa bagi menanggani isu bahan mentah yang dilihat turut menyebabkan harga barangan melonjak naik ketika ini.

“Bahan mentah sekarang ini memang susah kita perolehi dan telah menyebabkan harga barangan naik melonjak termasuk bahan pembinaan rumah seperti besi dan sebagainya.

“Ini pun satu jawatankuasa telah ditubuhkan di peringkat negeri yang diurus setia oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat (Datuk Ir Shahelmey Yahya) termasuklah jawatankuasanya daripada Kementerian Pertanian, Perindustrian dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP),” katanya.

Sehubungan itu, Hajiji berkata, semua perkara yang dihadapi rakyat termasuk kenaikan harga barang secara mendadak dan juga bekalan makanan yang tidak cukup sedang diteliti secara serius.

“Kerajaan tidak berdiam diri, kita akan berusaha sebaik mungkin kerana ini kehidupan rakyat kita.

“Saya akui memang ringgit kita sekarang ini seperti yang disebut ADUN Senallang agak ketara nilainya berbanding dolar AS, tetapi saya yakin di peringkat kerajaan Persekutuan akan mengambil langkah-langkah yang perlu untuk mengawal keadaan ini,” katanya. -SH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *