Sabah terima peruntukan RM6 juta laksana inisiatif Deklarasi Heart of Borneo

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah menerima peruntukan sebanyak RM 6 juta untuk pelaksanaan inisiatif deklarasi Heart of Borneo (HoB) bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Menterinya, Datuk Jafry Ariffin berkata peruntukan terbabit akan dimanfaatkan sebaik mungkin dalam usaha memelihara biodiversiti menerusi rangkaian kawasan hutan lindungan, pengurusan hutan dan pengunaan tanah secara mampan di Sabah.

“Untuk rekod, jumlah kawasan HoB di Malaysia adalah seluas 6.8 juta hektar di mana lebih kurang 4.2 juta hektar (61 peratus) kawasan inisiatif HoB adalah terletak di Sabah.

“Kerajaan komited untuk meningkatkan Kawasan Terlindung Sepenuhnya kepada 30% atau sekurang kurangnya 2.1 juta hektar menjelang tahun 2025 serta memulihkan hutan yang musnah menerusi program restorasi hutan.

“Projek HoB Negeri Sabah mula dilaksanakan sejak tahun 2008 dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-Sembilan. Jumlah peruntukan yang telah disalurkan kepada Jabatan Perhutanan Sabah sejak RMK ke -9 sehingga RMK ke-11 adalah sebanyak RM 54 juta,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mengulas mengenai pencapaian projek itu, sehingga kini Kawasan Terlindung Sepenuhnya di Sabah telah meningkat kepada 1.1 juta hektar.

“Manakala 22 pos lapangan luar juga telah dibina di kawasan-kawasan hotspot dalam kawasan HoB bagi tujuan pemantauan dan sehingga kini, kira-kira 26,000 hektar hutan direhabilitasi serta ekspedisi saintifik juga telah dijalankan di 36 hutan simpan.

“Seterusnya jabatan perhutanan juga telah melaksanakan Empat Pelan Pengurusan atau Konservasi Hutan dan 10 persidangan antarabangsa bertaraf dunia yang melibatkan peserta dan pembentang dari luar negara, universiti tempatan, pihak swasta dan agensi kerajaan.

“Selain itu, kawasan rekreasi hutan seperti Tawai Rainforest Camp, Centre of Sabah dan kajian peluang rekreasi hutan yang lain turut diwujudkan.

“Program kesedaran awam seperti ‘Environmental Education’ dan ‘HoB Roadshow’ turut diadakan dengan melibatkan para pendidik, para pelajar dan penduduk kampung dalam kawasan HoB,” katanya.

Terdahulu, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah telah meluluskan RM11.26 juta untuk melaksanakan projek dan aktiviti di bawah inisiatif berkenaan.

Daripada jumlah terbabit, negeri Sabah menerima RM 6 juta bagi meneruskan insiatif deklarasi HoB.

Jelasnya, kesinambungan pelaksanaan itu penting selaras dengan matlamat pengurusan hutan secara berkekalan dan usaha konservasi kepelbagaian biologi di kepulauan Borneo khususnya dan Malaysia secara amnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *