Sabah setuju jawatan Ketua Menteri dihadkan dua penggal

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersetuju dengan cadangan untuk mengehadkan tempoh perkhidmatan jawatan Ketua Menteri Sabah ini kepada hanya dua penggal.

Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Abidin Madingkir, berkata perkara itu sudah dibincangkan jemaah Kabinet negeri sebelum ini dan dipersetujui.

Bagaimanapun, katanya cadangan itu perlu disokong semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dibawa ke persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Perlembagaan sebelum boleh dilaksanakan.

“Sebenarnya jemaah Kabinet sudah meluluskan cadangan ini pada dasarnya dan sekiranya semua ahli Yang Berhormat (ADUN) setuju dan menyokong cadangan ini, kita akan bawa perkara ini pada Persidangan DUN akan datang untuk meminda Perlembagaan negeri,” katanya pada sesi soal jawab Persidangan DUN Sabah, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Ewon Benedick (UPKO-Kadamaian) sama ada kerajaan negeri mempunyai cadangan meminda Perlembagaan negeri bagi mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Sabah kepada hanya dua penggal.

Abidin berkata, cadangan berkenaan memang baik, malah Kerajaan Pusat juga mempunyai cadangan untuk mengehadkan tempoh pelantikan Perdana Menteri.

“Di negara Barat yang maju seperti Amerika Syarikat dan yang lain, mereka juga mengehadkan tempoh pelantikan Presiden atau Perdana Menteri mereka masing-masing.

“Sekiranya semua setuju terhadap cadangan ini, kita akan bawa ke Persidangan DUN akan datang,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Salleh Said Keruak (BN-Usukan) mengenai kesannya terhadap Perlembagaan sedia ada, Abidin berkata perkara itu diserahkan kepada pegawai perundangan negeri.

Abidin turut menjelaskan sekiranya tiada sokongan daripada semua ADUN, cadangan berkenaan tidak akan direalisasikan.

“Seperti saya nyatakan tadi, jemaah Kabinet meluluskan pada dasarnya cadangan ini, jadi sokongan semua wakil rakyat diperlukan dan sekiranya tiada sokongan, ia tidak direalisasikan,” katanya. -BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *