Sabah sedia bantu proses pendaftaran golongan sasaran sertai PICK: Shahelmey

Oleh: Ranya Saai

PUTATAN: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah bersedia membantu proses pendaftaran golongan sasaran bagi menyertai Program Imunisasi COVID19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini.

Menterinya, Shahelmey Yahya berkata, ini termasuklah langkah bantuan memudahkan pencapaian pangkalan data mereka yang layak melibatkan kumpulan sasar.

“Dari sudut kementerian, memang kumpulan sasar kita melibatkan warga emas, orang kurang upaya (OKU), kanak-kanak, anak yatim, kita boleh membantu dari segi ‘data base’ untuk mereka dapat menyertai program tersebut.

“Kita akan berhubung dengan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dan melihat bagaimana kita membantu proses pendaftaran mereka yang kita sasarkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program derma darah di Masjid Nurul Iman, Kampung Pasir Putih, Putatan, hari ini.

Dalam perkembangan lain, media sebelum ini melaporkan Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Harun dalam satu kenyataan media baru-baru ini berkata golongan warga emas dan OKU perlu diberi keutamaan bagi fasa kedua program PICK.

Menurutnya, ini berikutan golongan terbabit adalah golongam berisiko tinggi kerana berada dalam satu kelompok secara kebiasaannya.

Mengulas mengenai perkembangan yang sama, Shahelmey turut menyeru kepada semua rakyat Sabah yang layak supaya menyertai program terbabit secara sukarela demi kepentingan awam.

“Program mendapatkan imunisasi COVID19 ini adalah secara sukarela tapi kita menyeru semua rakyat yang layak mendapatkan vaksin.

“Ini kerana tujuannya bukan sahaja melindungi diri kita sendiri, tetapi kita melindungi masyarakat secara umum,” katanya.

Terdahulu, mengulas mengenai program derma darah hari ini, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat itu berkata, acara terbabit memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran terhadap sumbangan kepada bekalan tabung darah di negeri ini.

“Program derma darah anjuran Masjid Nurul Iman Kampung Pasir Putih dengan kerjasama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) Putatan ini amat dipuji dalam usaha kita memupuk kesedaran orang ramai dan menyumbang kepada bekalan tabung di hospital sedia ada.

“Saya juga berharap program murni sebegini akan terus diadakan di seluruh Sabah dari semasa ke semasa,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *