Sabah perlu ikut langkah kerajaan Sarawak – Firdaus

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri perlu mengikut langkah Sarawak meluluskan pertukaran terma ‘Ketua Menteri kepada Premier’ dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

Ketua Penerangan BERSATU Sabah, Khairul Firdaus Akbar Khan, berkata langkah ini meletakkan Sarawak bukan lagi equal partners’ dengan negeri-negeri lain di Malaysia.

Katanya, ini secara jelas menunjukkan status negeri Sarawak menuju ke arah otonomi yang lebih nyata sekali gus menjadi kebanggaan rakyatnya.

“Hasil daripada tindakan Kerajaan Sarawak itu BERSATU Sabah menyarankan agar kerajaan negeri dapat mengikuti tindakan yang dilaksanakan itu dalam tempoh terdekat.

“Kita melihat tindakan sebegini dapat merealisasikan harapan bekas pemimpin utama Allahyarham Tun Mustapha serta Allahyarham Tun Fuad Stephen sewaktu penubuhan Negara Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Firdaus berkata kesepakatan pemimpin Sabah harus ditonjolkan terutama dalam isu melibatkan hak-hak rakyat di negeri ini.

“Kesepakatan kuat pastinya boleh menghalang segala anasir luar cuba untuk mengugat kestabilan politik di negeri ini.

“Kemunduran berlaku di negeri Sabah disebabkan permainan politik terlampau sejak kita mencapai kemerdekaan harus dihentikan serta fokus utama adalah untuk memajukan rakyat di negeri ini,” katanya.

Dengan meletakkan negeri Sabah sebagai status berlainan dengan negeri lain, pastinya generasi baru akan lebih memahami apakah pembentukan negara Malaysia sebenarnya.

“Negeri Sabah serta Sarawak adalah tunjang utama dalam pembentukan Negara Malaysia dan pastinya dalam masa akan datang Sabah mampu menjadi pelopor penyumbang utama ekonomi negara Malaysia,” katanya-SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published.