Sabah pastikan bekalan ayam, telur cukup pada musim raya

KOTA KINABALU – Kementerian Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akan memastikan bekalan keperluan makanan adalah mencukupi di pasaran terutama menjelang musim perayaan, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Menterinya, Datuk Shahelmey Yahya berkata, dengan mengambil maklum isu kekurangan bekalan ayam serta telur ayam, kementeriannya berkerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah membuat pemantauan bagi mengatasi masalah itu termasuk menangani isu kenaikan harga.

“Buat masa ini bekalan telur ayam adalah sedikit kurang, kira-kira 10 peratus, namun jabatan berkaitan sedang dalam usaha memastikan bekalan utama menjelang musim perayaan akan berada pada tahap mencukupi,” katanya di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Justin Wong Yung Bin (Bebas-Sri Tanjong) yang ingin tahu adakah kerajaan Sabah bersedia untuk menambah ataupun meningkatkan penternakan ayam dan pengeluaran telur.

Sementara itu, Shahelmey ketika menjawab soalan lisan Wong berkata, kenaikan harga ayam dan telur ayam di Sabah pada masa ini adalah disebabkan oleh kenaikan kos input kepada penternak ayam terutama kos makanan yang meliputi 70 peratus kos pengeluaran, selain kos logistik, kos pekerja, kos utiliti dan kos ubat-ubatan.

Shahelmey berkata, antara pendekatan diambil bagi menangani kenaikan harga adalah seperti mengeluarkan surat pemberitahuan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 sebagai ‘soft-approach’ dalam tindakan pemantauan.

“Peniaga ayam dan telur di peringkat borong dan runcit telah bersetuju mengurangkan margin keuntungan sejak 11 Sept 2021. Sebanyak 82 premis telah memberikan komitmen penurunan margin keuntungan dan ini sangat membantu pengguna dalam mendapat harga runcit yang munasabah,” katanya.

Beliau berkata, KPNDHEP juga telah membuat penetapan harga dan pengurangan harga dengan mewartakan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) 2022 berkuat kuasa 7 hingga 31 Disember 2021 dan telah dilanjutkan mulai 1 Jan hingga 4 Februari lepas. – Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *