Sabah kutip RM808 juta cukai produk petroleum 6 bulan pertama tahun ini
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengutip RM808 juta cukai jualan produk petroleum untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.
Menteri Kewangan Kedua Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata hasil cukai jualan produk petroleum dianggarkan berjumlah RM1.1 bilion tahun ini dan angka yang telah dikutip adalah 73 peratus daripada anggaran berkenaan.
“Hasil yang dikutip setakat ini menjadikan jumlah keseluruhan pungutan cukai jualan produk petroleum sejak ia dilaksanakan pada 1 April, 2020 sehingga 30 Jun, 2022 sebanyak RM2.458 bilion.
“Dalam usaha kerajaan negeri memperluas sumber dan meningkatkan hasil negeri, dua lagi produk petroleum akan dikenakan Cukai Jualan Negeri bermula 1 Ogos, 2022. Produk tersebut ialah ammonia dan urea yang dianggarkan menyumbang RM46 juta ke atas hasil negeri pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Yong Teck Lee (SAPP-Adun dilantik) mengenai tindakan diambil bagi menuntut Cukai Jualan Negeri dibawah Enakmen Cukai Jualan Negeri 1998 bagi sektor minyak dan gas (O&G) serta anggaran jumlah cukai jualan yang diterima oleh kerajaan negeri.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata kerajaan negeri sentiasa memastikan kutipan hasil Sabah bukan sahaja kukuh, tetapi turut dioptimumkan untuk menyumbang ke arah pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan.
“Oleh itu, kerajaan negeri memandang serius bukan sahaja terhadap pungutan cukai jualan produk petroleum, malah, ke atas semua produk yang dikenakan Cukai Jualan Negeri.
“Kerajaan negeri tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan menerusi semua hak perlembagaan dan perundangan untuk mendapatkan semula Cukai Jualan Negeri yang terhutang dan tertunggak jika ada, demi untuk menjaga kedaulatan negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata Sabah Oil and Gas Development Corporation Sdn Bhd (SOGDC) telah menandatangani dua Perjanjian Pajakan Tanah dan lapan Memorandum Persefahaman (MoU) dengan syarikat pelabur pada 24 dan 29 Mac lalu.
Dr Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian negeri berkata pelabur tersebut ingin membangunkan perniagaan berkaitan O&G di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Beliau berkata pelaburan itu antara lain melibatkan pengurusan sisa pepejal, loji penapis minyak, tangki minyak, loji metal silikon, loji tenaga, loji diesel hijau, kemudahan regasifikasi dan loji hidrogen-ammonia dengan pelaburan berjumlah RM19.8 bilion.
“Berikutan Perjanjian Pajakan dan MoU tersebut, kementerian saya melalui SOGDC meneruskan perbincangan dan koordinasi dengan syarikat-syarikat pelabur untuk memastikan mereka boleh mengambil langkah seterusnya seperti yang dinyatakan dalam perjanjian dan MoU itu.
“Usaha yang dilakukan termasuk penganjuran Forum Libat Urus Strategik bersama Pelabur dan Penyedia Perkhidmatan SOGIP pada 8 Jun, 2022 di mana semua pelabur berkongsi sejauh mana usaha mereka setakat ini untuk menunaikan komitmen mereka dan bagaimana mereka boleh memanfaatkan kepakaran masing-masing untuk kepentingan bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Dr Yusof Yacob (BN-Sindumin) mengenai status selanjutnya bagi pelaburan RM19.8 bilion melibatkan SOGDC. – BERNAMA