Sabah gesa rakyat kurangkan majlis sosial, keramaian elak jangkitan komuniti

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri meminta rakyat Sabah agar mengurangkan majlis sosial dan keramaian berikutan peningkatan kes baru-baru ini dilaporkan selepas Hari Natal dan Tahun Baru.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata keadaan terbabit membuatkan jumlah zon merah di negeri ini telah semakin bertambah.

“Semalam Sabah telah mencatatkan sebanyak 19 zon merah, tiga zon jingga dan selebihnya adalah zon kuning. Tiada lagi zon hijau.

“Sejak beberapa hari lepas, majoriti kluster dan kes baharu yang direkodkan adalah disebabkan majlis keramaian seperti majlis sambutan Hari Natal dan juga Tahun Baru.

“Jangkitan komuniti kini telah menjadi ancaman. Lebih 60 peratus kes adalah berpunca dari kontak rapat yang terdedah dengan pesakit positif COVID-19.

“Pihak kita akan meneliti semula prosedur operasi standard (SOP) untuk majlis keramaian berdasarkan situasi semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media khas berkenaan perkembangan COVID-19 di Sabah secara langsung, semalam.

Dalam pada itu, Masidi turut berkata pihaknya khususnya pihak berwajib akan terus memantau situasi semasa terutamanya aktiviti atau majlis sosial melibatkan perhimpunan orang ramai.

Ini selaras dengan kenyataan beliau semalam di mana Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah mengeluarkan arahan penganjuran majlis sosial perlu dimaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah bagi tujuan pemantauan pematuhan SOP.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *