Sabah cadang kerajaan pusat benarkan kerajaan negeri jalankan pakej Lebuh Raya Pan Borneo secara PFI
KOTA KINABALU: Sabah mencadangkan agar kerajaan pusat membenarkan kerajaan negeri untuk menjalankan seluruh pakej Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah secara Inisiatif kewangan swasta (PFI).
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini berkata cadangan terbabit harus dipertimbangkan agar projek ini dapat diteruskan tanpa sebarang masalah.
“Oleh itu, saya mencadangkan kepada kerajaan Pusat agar membenarkan kerajaan negeri menjalankan seluruh pakej Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah secara PFI.
“Rakyat Sabah berhak menikmati lebuh raya yang lebih baik dan selesa seperti yang dinikmati oleh rakyat di negeri-negeri yang lain,” katanya.
Cadangan terbabit disarankan oleh Bung berikutan peruntukan untuk pakej pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah dalam Belanjawan 2021 dianggap tidak mencukupi berbanding jumlah yang telah diperuntukkan untuk Sarawak.
“Peruntukan pakej pembinaan lebuh rayah itu tidak memperlihatkan akan menjadi realiti dimana hanya sekitar 25 peratus dapat dilaksanakan di Sabah berbanding dengan negeri jiran, Sarawak sekitar 60 peratus.
“Kalau peruntukan hanya RM 460 juta untuk satu pakej, sudah tentu hasrat rakyat Sabah untuk menikmati sebuah lebuh raya yang lebih baik dan selesa tidak akan menjadi realitinya tapi akan menjadi mimpi ngeri,” katanya.
Bung yang juga merupakan Menteri Kerja Raya Sabah itu turut berkata kemajuan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Sabah tidak memperlihatkan perkembangan positif semasa berada di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Keadaan menjadi semakin terus apabila kerajaan negeri sebelum ini yang dipimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) telah membatalkan pinjaman mudah (soft loan) menjadi antara faktor kenapa perkembangan pembinaan lebuh raya ini menjadi lembab.
“Keadaan jalan raya di Sabah amat menyedihkan berbanding dengan negeri- negeri lain dan lebih malang semasa kerajaan WARISAN memerintah, mereka tidak melakukan sesuatu untuk penambah baikan sistem perhubungan jalanraya di negeri ini,” katanya.