Sabah benarkan 3 pasar raya dalam senarai Hide beroperasi
KOTA KINABALU: Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Covid-19 Negeri Sabah hari ini membenarkan tiga pasar raya di negeri itu yang disenarai dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (Hide) untuk terus beroperasi.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah Masidi Manjun berkata, sehubungan itu kawalan ketat akan dilakukan di pasar raya yang terlibat, bagi memastikan pengunjung dan pasar raya itu mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan bagi mengekang Covid-19.
โKami arahkan Rela dan DBKK (Dewan Bandaraya Kota Kinabalu) buat kawalan di pintu masuk pasar raya terbabit. Jika melebihi daya tampungnya, pengunjung akan disekat masuk sementara menunggu pengunjung lain keluar.
โKita akan hanya menutup dan menyahkuman pasar raya itu jika terdapat kes Covid-19,โ katanya kepada pemberita menerusi mesej WhatsApp hari ini.
Semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dilapor berkata, premis tersenarai dalam sistem Hide kerana dikenal pasti sebagai lokasi berisiko kepada penularan kes Covid-19, akan diarah tutup tiga hari berkuatkuasa serta merta.
Semakan di sistem itu mendapati tiga pasar raya terlibat di Sabah ialah Centre Point Shopping Mall, Suria Shopping Mall dan Kompleks Karamunsing, semuanya terletak di Kota Kinabalu.
–Bernama