Sabah akan menyusul untuk tuntut hak gas dan minyak seperti Sarawak

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah akan menyusul dengan Sarawak dalam usaha menuntut hak khusus berkenaan gas dan minyak.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini mengucapkan tahniah kepada kerajan negeri Sarawak yang berjaya memeterai perjanjian dengan PETRONAS, semalam.

Perjanjian tersebut membolehkan kerajaan Sarawak menerusi anak syarikatnya, Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), memainkan peranan lebih besar dalam industri minyak dan gas melalui kerjasama dengan PETRONAS.

“Tahniah kepada Sarawak kerana menuntut hak mereka. Ia bukan lagi satu rahsia di mana kerajaan negeri itu telah berjuang selama ini dan kita bersyukur atas usaha mereka.

“Untuk Sabah, kerajaan negeri akan menyelesaikan perkara terbabit dan membuat perjanjian yang perlu untuk memastikan Sabah akan menandatangani perjanjian yang sama dengan PETRONAS sebagaimana dua negeri Borneo ini mempunyai hak serta situasi yang sama,” katanya.

Dalam kenyataan media terbabit, Jeffrey turut berkata perjanjian yang ditandatangani itu juga menunjukan komitmen berterusan dan keikhlasan Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam memberi hak kepada Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Jeffrey juga menambah bahawa perjanjian tersebut akan membantu meningkatkan pembangunan ekonomi di Sabah dan mempercepatkan industri luar bandar yang sangat kurang jika dibandingkan dengan Semenanjung Malaysia.

“Paling penting, perjanjian ini akan mengukuhkan lagi hubungan antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri, memenuhi komitmen kerajaan persekutuan yang tertunggak dan memastikan sokongan berterusan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kita akan bekerjasama dengan erat bersama kerajaan negeri Sarawak dalam memastikan semua hak yang termaktub dalam MA63 akan dipenuhi dan memperbetulkan semua pelanggaran hak yang berlaku sejak beberapa dekad lepas,” katanya.

Jeffrey juga berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak akan membuang masa untuk menunggu tindakan kerajaan terdahulu yang dipimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam menuntut hak di bawah MA63.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *