PPV UMS berupaya menampung 1,000 orang penerima vaksin sehari
KOTA KINABALU: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, Ketua Menteri Sabah merangkap Pro-Canselor UMS meninjau secara langsung proses imunisasi COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin IPT-UMS, yang telah beroperasi sejak 14 Jun lalu.
Setakat hari ini, sebanyak 13,729 dos yang membabitkan kakitangan dan pelajar UMS serta orang awam telah menerima vaksin di PPV IPT-UMS. YAB Ketua Menteri memuji usaha UMS yang turut membantu menyediakan PPV bagi membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok.
Beliau turut menyatakan bahawa pelaksanaan vaksinasi adalah amat diperlukan bagi membantu kerajaan menangani penularan COVID-19. PPV IPT-UMS berupaya menampung 1,000 orang penerima vaksin sehari dan akan ditambah kepada 3,000 orang sehari pada minggu hadapan dengan bantuan seramai 177 petugas membabitkan petugas klinikal (doktor dan jururawat), sukarelawan dalam kalangan kakitangan dan pelajar UMS, anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan sukarelawan MyVac atau Malaysia Vaccine Support Volunteers.
Sempena lawatan itu, Ketua Menteri turut mendengar taklimat daripada YBhg. Prof Datuk Dr Taufiq Yap Yun Hin, Naib Canselor UMS berkaitan perkembangan Hospital UMS (HUMS) yang dijadualkan siap menjelang akhir tahun depan. HUMS akan menjadi hospital pengajar yang dilengkapi kemudahan terkini dan moden yang boleh memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat Sabah.
Turut hadir dalam program ini YBhg. Dr. Rose Nani Mudin, Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, YBhg. Prof. Dr. Helen Benedict Lasimbang, Pengarah Hospital Universiti Malaysia Sabah dan YBhg. Puan Noorliza Awang Alip, Mayor Bandaraya Kota Kinabalu merangkap Pengerusi CITF Daerah Kota Kinabalu.