Polis berkas remaja suspek edar dadah

TUARAN: Polis menahan seorang remaja lelaki berumur 19 tahun selepas dipercayai terlibat dengan jenayah pengedaran dadah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tuaran Deputi Superintendan Mohd Hamizi Halim berkata, suspek ditahan dalam satu serbuan di Taman Telipok Ria pada Sabtu lepas.

Hasil risikan polis, pihaknya mendapati suspek bergiat aktif sejak beberapa minggu lepas dan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket mengedar dadah di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 2,118.84 gram yang dianggarkan bernilai RM84,824 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Sebuah kenderaan turut dirampas daripada suspek dan hasil siasatan mendapati suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan jenayah dadah.

“Suspek yang juga warga tempatan kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil ujian saringan air kencing, suspek didapati positif dadah jenis syabu dan turut disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952.

Katanya, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup dan boleh dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Menurutnya, tangkapan dijalankan oleh sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Tuaran.

Dalam pada itu, pihaknya akan mengenal pasti kumpulan sindiket atau suspek tangkapan dadah lain yang mempunyai kaitan dengan remaja terbabit.

Katanya, polis percaya, suspek juga digunakan sindiket dadah bagi mempengaruhi golongan remaja untuk menagih dadah.

Sehubungan itu jelasnya, siasatan akan diteruskan dalam usaha untuk memutuskan rantaian pengedaran dadah di kawasan Taman Telipok Ria. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *