PKOB diarah siap sedia bantu mangsa banjir – Bung Moktar

KOTA KINABALU: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di kawasan Kinabatangan perlu bersiap sedia sekali gus beroperasi dalam tempoh 24 jam  berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu ketika ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ini penting untuk memastikan segala persiapan dapat dijalankan diperingkat awal disamping berusaha membantu menyelamat mangsa sekiranya berlaku musibah banjir.

Katanya, langkah ini bagi mengelak timbul sebarang isu kelewatan operasi dengan memberi kesan terhadap usaha menyelamat penduduk terutama di kawasan berisiko tinggi.

“Kita minta seluruh PKOB di negeri ini terutama di kawasan Kinabatangan agar melaksanakan persiapan awal secara rapi bagi memastikan operasi dapat berjalan dengan lancar.

“Ini termasuklah memastikan agar semua tenaga petugas mencukupi disamping aset dapat digerakkan bersama sekali gus mengelak berlakunya kelewatan membantu mangsa banjir,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Bung Moktar selaku Menteri Kerja Raya mengarahkan semua jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) agar dapat memantau keadaan infrastruktur di daerah masing-masing.

“Keadaan infrastruktur ini termasuk kemudahan jalan raya rosak serta bahagian cerun yang berisiko tinggi berkemungkinan tidak selamat digunakan pengguna perlu dimaklumkan awal untuk tindakan lanjut,” katanya -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *