PIKAS: Bantu imuniti Kelompok dalam sektor pembuatan dapat dicapai

KOTA KINABALU, 10 JULAI 2021: Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor melawat Pusat Pemberian Vaksin Industri menerusi Program Imunisasi Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC).

PIKAS merupakan inisiatif Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bermatlamatkan untuk mempercepatkan kadar vaksinasi negara dengan sasaran sekurang-kurangnya dua juta pekerja dalam sektor pembuatan menjelang suku ketiga tahun ini.

Di Sabah, PIKAS bermula pada hari ini, PIKAS menyasarkan 18,000 pekerja daripada 407 kilang pembuatan yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri, ianya membabitkan pekerja dalam sektor pembuatan di Kota Kinabalu dan daerah berdekatan iaitu Putatan, Penampang, Papar serta Tuaran.

Melalui PIKAS, kerajaan akan memberikan vaksin secara percuma. Pihak swasta pula akan menyediakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) termasuk penglibatan perkhidmatan perubatan swasta dan kos pengurusan PPV yang ditanggung sepenuhnya oleh pihak swasta bagi menjimatkan peruntukan kerajaan.

Terdapat dua jenis PPV dibawah PIKAS iaitu PPV Penggunaan Umum yang melibatkan pusat konvensyen dan pameran termasuk hotel, manakala PPV Di Tapak (On-Site) pula adalah melibatkan pemberian vaksin di premis kilang.

Ketua Menteri berkata, majikan perlu menanggung sepenuhnya kos vaksinasi pekerja dan mereka tidak dibenarkan memotong gaji pekerja.

Syarikat yang berminat untuk menyertai PIKAS boleh mendapatkan maklumat dan mendaftar dalam talian melalui www.miti.gov.my.

Ketua Menteri memuji usaha MITI Sabah yang mempercepatkan proses PIKAS ke negeri ini dan yakin imuniti kelompok dalam sektor pembuatan dapat dicapai, sekali gus mempercepatkan pemulihan ekonomi negeri serta negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *