Persatuan Kapitan Cina Daerah Tuaran terima “Ang Pau” CNY dari Ketua Menteri

TUARAN: Persatuan Komuniti Cina dan Ketua Masyarakat Cina (Kapitan) daerah Tuaran hari ini menerima “ang pau” Tahun Baharu Cina (CNY) daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor.

Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman mengumumkan Persatuan Masyarakat Cina di Tuaran masing-masing akan menerima peruntukan sebanyak RM5,000.00, manakala Kapitan Cina akan menerima RM2,000.00 seorang.

Katanya, Kawasan Tuaran termasuk DUN Dalit, Tamparuli dan Kiulu kini mempunyai seramai 7 orang Kapitan Cina dan bilangannya akan ditambah sekiranya ada keperluan.

“Bantuan Kewangan yang diberikan ini sebagai tanda kemesraan dan kasih sayang saya selaku Ketua Menteri sempena Tahun Baharu Cina”, katanya pada Majlis Ramah Mesra Bersama Pemimpin Masyarakat Cina Daerah Tuaran di Tembara Ku, Kampung

Serusop, hari ini.

Turut hadir isteri Hajiji, Datin Seri Panglima Hajah Juliah Salag, Pengerusi Majlis

Penasihat Ekonomi Sabah (SEAC), Tan Sri David Chew, Pengerusi Perhubungan Parti Gerakan Sabah, Datuk Alexander Lo Su Hyen dan Setiausaha Politik Menteri Kewangan Negeri, Datuk Haji Johari Saiman.

Hajiji berharap tahun Harimau 2022 (mengikut zodiak Cina) keadaan ekonomi Sabah dan negara akan pulih dan bertambah baik.

Beliau yakin sempadan negara akan dibuka tidak lama lagi, agar aktiviti pelancongan dapat digerakkan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Apabila sempadan negara dibuka kelak, kita mahu aktiviti pelancongan ditingkatkan. Kedatangan ramai pelancongan asing akan membawa kebaikan kepada negeri ini, terutamanya peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat kita dan aktiviti ekonomi setempat’, katanya.

Menyentuh perayaan Tahun Baharu Cina yang akan disambut oleh masyarakat Tionghwa pada 1 dan 2 Februari 2022, beliau berkata keunikan di Sabah ialah perayaan itu turut diraikan bersama oleh masyarakat dan kaum lain di negeri ini.

Sambil mengucapkan selamat menyambut Tahun Baharu Cina, Hajiji berharap rakyat terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang masih dikuatkuasakan oleh pihak berkuasa, bagi mengekang menularan semula COVID-19, khususnya dengan kemunculan varian baharu,

Katanya, meskipun kes COVID-19 semakin menunjukkan penurunan, rakyat sama sekali tidak boleh alpa, sebaliknya perlu sentiasa kekal mematuhi SOP.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *