PERKESO salur lebih RM1 bilion kepada rakyat Sabah

KOTA KINABALU: Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyalurkan lebih RM1 bilion kepada rakyat Sabah menerusi pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan.

Ketua Eksekutifnya Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, peruntukan itu berbentuk bantuan serta insentif kewangan kepada majikan dan pekerja untuk kelangsungan operasi perniagaan selain mengekalkan pekerja sedia ada dan mengambil pekerja baharu.

Katanya, sehingga kini PERKESO berjaya mengagihkan RM14.6 bilion kepada majikan dan pekerja di seluruh negara menerusi pelbagai inisiatif kerajaan yang dilaksanakan pertubuhan itu.

“Pada tahun ini sehingga 2 April, PERKESO berjaya menempatkan semula 46,971 individu ke alam pekerjaan, manakala jumlah kekosongan jawatan yang didaftarkan majikan pula menjangkau 457,753 kekosongan.

“Untuk Sabah, setakat 1 April, pekerja aktif yang dilindungi ialah seramai 280,744 orang, manakala majikan aktif yang dilindungi ialah 33,893”, katanya ketika membuat kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Hajiji Noor di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS), semalam.

Sementara itu, Hajiji bagi pihak kerajaan negeri menyatakan penghargaannya kerana peranan PERKESO dalam menyediakan keselamatan sosial untuk rakyat Sabah bagi perlindungan terhadap bencana kerja.

Katanya, ia termasuk sebarang kematian dan pemberian elaun kehilangan pekerjaan, insentif yuran latihan, mobiliti serta program penempatan pekerjaan.

“Faedah PERKESO adalah menjadi penggantian pendapatan bagi mereka yang hilang upaya, ilat, kematian, ataupun kehilangan pekerjaan”, katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *