Perkasa ESSCOM depani ancaman keselamatan semakin kompleks

Sejak penubuhan Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) (ESSCOM) pada 2013, banyak berlaku perubahan dari segi aspek pemerkasaan keselamatan dan kesiapsiagaan Sabah.

Ancaman keselamatan dari segi tradisional dan bukan tradisional seperti tuntutan Filipina ke atas Sabah, penyeludupan, pendatang asing tanpa izin (PATI), jenayah serantau, jenayah berunsurkan terorisme dan penculikan untuk tebusan bukanlah baharu.

Malah, terorisme, jenayah serantau dan tuntutan Filipina ke atas Sabah menggerakkan kerajaan memberi perhatian khusus terhadap keselamatan negeri itu. Walaupun pada 1990-an sejak kemunculan kumpulan Abu Sayyaf di Selatan Filipina memberikan impak besar terhadap keselamatan perairan Sabah, jenayah berasaskan penculikan untuk tebusan tidak dipandang begitu serius.

Begitu juga ancaman bukan tradisional seperti isu migrasi dan perbatasan. Namun, insiden Tanduo pada Februari 2013 akhirnya membawa kepada penubuhan ESSCOM.
Dalam insiden pada 11 Februari 2013 itu, Agbimuddin Kiram yang mendakwa sebagai Raja Muda kepada waris Sultan Sulu bersama lebih 100 pengikutnya tiba di Kampung Tanduo di Tungku, Lahad Datu.

Pencabulan kepada kedaulatan negara itu, memaksa kerajaan menangani kumpulan ini melalui penggunaan ketenteraan.

Lanjutan peristiwa pencerobohan Tanduo itu, Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak, semasa lawatannya ke Lahad Datu pada 7 Mac 2013, mengisytiharkan penubuhan Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah dikenali Kawasan Keselamatan Khas (SSA).

Bagaimanapun, dalam mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri Sabah dipengerusikan Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman pada 11 Mac 2013 bersetuju menukarkan nama SSA kepada ESSCOM.

Sementara itu, pada 25 Mac 2013, Najib dalam ucapannya di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) sempena peringatan Hari Polis Ke-206 di Kuala Lumpur, mengumumkan pengwujudan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) meliputi 10 daerah di Pantai Timur Sabah, iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Penduduk dan masyarakat berada di dalam wilayah berkenaan dikenali sebagai komuniti ESSZONE.

ESSCOM diberikan tanggungjawab melindungi keselamatan ESSZONE daripada sebarang bentuk ancaman keselamatan termasuk di kawasan perbatasan dan perairan Pantai Timur Sabah.

Ibu pejabat ESSCOM di Lahad Datu menjadi pusat kepada kawasan operasi kepada pembersihan sakibaki pengganas Sulu menceroboh Sabah.

Selepas insiden Tanduo, ESSCOM diberikan tanggungjawab menyelaras operasi keselamatan, mengumpul maklumat risikan, pengendalian aset keselamatan, pengurusan anggota keselamatan dan memastikan kawasan perairan Sabah selamat daripada ancaman luar.

Operasi ESSCOM juga menggabungkan beberapa agensi keselamatan di bawah satu payung termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Terdapat empat elemen diperkenalkan dalam memberikan perlindungan kepada komuniti ESSZONE. Pertama, meningkatkan kemampuan perisikan; kedua, pemantauan pengawalan pantai untuk 24 jam; ketiga, meningkatkan kemampuan negara memintas sebarang ancaman laut dan keempat, penguatkuasaan undang-undang ketat dengan tindakan pantas ke atas ancaman.

Kerajaan juga melaksanakan beberapa dasar dan peraturan baharu bagi memperkasakan organisasi ini, antaranya penstrukturan dan kepemimpinan ESSCOM melalui jawatan komander dalam melaksanakan operasi keselamatan ESSCOM.

ESSCOM berjaya membendung pelbagai bentuk ancaman di kawasan lingkungan ESSZONE. Statistik dari 2000 hingga 2018 menunjukkan kumpulan militan Abu Sayyaf dan penculik bagi tebusan merekodkan sebanyak 25 kes membabitkan 79 kes mangsa penculikan.

Sejak 2013 hingga 2021, ESSCOM berjaya mematahkan 41 sel kumpulan militan Abu Sayyaf membabitkan hasil tangkapan 83 ahli Abu Sayyaf dan kumpulan penculikan bagi tebusan.

Seawal 2021, ESSCOM mengeluarkan senarai sebanyak 21 individu dikehendaki terbabit dengan pelbagai jenayah di kawasan ESSZONE termasuk lima ahli kumpulan Abu Sayyaf. Malah sejak 2021, kumpulan militan selnya juga berkembang ke Pantai Barat Sabah dengan hasil penangkapan kumpulan berkenaan di Beaufort pada Mei 2021.

Usaha ini menghasilkan impak signifikan apabila 2021 merekodkan sifar kes penculikan dan rompakan laut.

ESSCOM juga berjaya mengekang krisis jenayah maritim seperti sindiket penyeludupan dadah, pencerobohan PATI, penyeludupan barang kawalan dari Sabah ke Selatan Filipina dan Kalimantan, Indonesia di sepanjang kawasan ESSZONE.

Sepanjang Op Benteng di Sabah, pasukan keselamatan berjaya mematahkan sindiket penyeludupan dadah di ESSZONE. Pada 9 September tahun lalu, lebih 300 kilogram bernilai RM11 juta di Tawau dirampas polis, sekali gus menyaksikan jumlah tangkapan sindiket dadah terbesar di Sabah.

Namun, terdapat beberapa faktor boleh mengekang kesiapsagaaan ESSCOM dan agensi berkuasa lain dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan Sabah. Antaranya, kekurangan bajet dan keperluan bagi kelengkapan aset keselamatan serta penambahan check point keselamatan di ESSZONE.

Walaupun setiap tahun, kerajaan memperuntukkan jumlah besar bagi memastikan kesiapsagaan keselamatan, kedinamikan seperti kawasan perbatasan luas dilihat cabaran utama. Peruntukan kewangan bagi keselamatan Sabah perlu dipertingkatkan.

Hal ini perlu dipandang kritikal memandangkan ancaman keselamatan maritim dan perbatasan masih lagi menjadi isu utama. Pemindahan ibu kota Indonesia ke Kalimantan contohnya haruslah dinilai dari segi sudut kesiapsagaan keselamatan di sepanjang kawasan perbatasan antara Sabah dengan Kalimantan.

Selain itu, ancaman keselamatan dari Selatan Filipina masih lagi menjadi isu kritikal terutama isu tuntutan Filipina ke atas Sabah.

Usaha dilakukan ESSCOM bukan sahaja berjaya mengurangkan ancaman, bahkan menunjukkan dalam keterhadan dari segi kelengkapan dan kewangan ini, ia masih mampu menjalankan tugasan dengan baik dan efektif.

Namun, ESSCOM tidak akan berjaya tanpa sokongan orang awam di wilayah ESSZONE. Kerjasama dengan masyarakat amat penting dalam mendepani ancaman keselamatan, sekali gus menunjukkan Sabah dan Malaysia secara keseluruhannya sangat memerlukan ESSCOM.

Lebih-lebih ancaman terhadap Sabah semakin kompleks. Pengalaman pengurusan pandemik COVID-19 melalui Op Benteng digerakkan ESSCOM menjadi bukti jelas bagaimana ia mampu menguruskan isu ini dengan efektif.

Ancaman kepada kelangsungan negara semakin menggusarkan rakyat negeri Sabah terutama berkait tuntutan Kesultanan Sulu ke atas Sabah semakin aktif kebelakangan ini, sekali gus memerlukan kehadiran ESSCOM.

Selepas lebih sembilan tahun penubuhan ESSCOM, ia masih relevan dalam konteks keselamatan Malaysia dan Sabah khususnya. Dalam mendepani hal ini, ESSCOM perlu diperkasakan selari perubahan ancaman semakin kompleks.

Hakikatnya, kejayaan ESSCOM banyak bergantung kepada kesediaan kerajaan memberikan dana lebih besar kepada ESSCOM untuk meningkatkan kemampuan ‘pencegahan’ dalam mendepani ancaman.

Penulis adalah Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Malaysia Sabah (UMS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *