Perintah berkurung laut Sabah dilanjutkan selama dua minggu sehingga 11 Mac – Idris

KOTA KINABALU : Masyarakat yang tinggal berdekatan Zon Keselamatan Timur Sabah diarahkan untuk mematuhi perintah berkurung laut berikutan ancaman berterusan daripada penjenayah rentas sempadan, termasuk kumpulan culik untuk tebusan.

Perintah berkurung laut dari senja ke subuh itu akan dilanjutkan selama dua minggu sehingga 11 Mac kelak.

Menurut Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah, dalam satu kenyataan media, menjelaskan perintah berkurung laut ini dilaksanakan daripada jam 6 petang sehingga 6 pagi, di mana aktiviti keluar masuk rumah tidak dibenarkan di kawasan terbabit.

Kawasan terlibat meliputi kawasan sehingga tiga batu nautika di luar Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Terdapat keperluan untuk meneruskan perintah berkurung di perairan ini bagi mengelakkan pencerobohan pengganas dan penjenayah yang boleh mengancam keselamatan penduduk tempatan, penyelidik antarabangsa dan pelancong di pulau-pulau itu,” jelasnya.

Penguatkuasaan dan pemantauan aktiviti menaiki bot di kawasan itu turut dilaksanakan bagi mewujudkan rasa selamat kepada pemilik chalet dan nelayan.

“Saya juga telah memberi kuasa kepada semua ketua polis daerah untuk mengeluarkan permit kepada mana-mana pemohon yang layak yang menepati kriteria untuk menjalankan aktiviti menangkap ikan di kawasan yang terlibat dengan perintah berkurung,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *