Penyebaran maklumat palsu berkenaan PPV SICC akan dikenakan tindakan -JKNS
KOTA KINABALU : Tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menyebarkan maklumat palsu boleh menyebabkan panik dan keresahan dalam kalangan rakyat untuk menghadiri suntikan vaksinasi di salah sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), sekali gus mengganggu proses suntikan vaksinasi di PPV tersebut.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang terlibat dalam menyebarkan maklumat palsu mengenai SICC dan PPV lain di negara ini.
Pengarah JKNS, Dr Rose Nani Mudin berkata, penularan maklumat palsu di media sosial dimana pendakwa meminta orang ramai yang berada di PPV SICC pada 31 Julai lalu untuk segera menjalani saringan ujian Covid-19, adalah satu perkara yang serius.
Dalam satu kenyataan media, Dr Rose Nani menjelaskan bahawa semua kakitangan dan sukarelawan PPV akan memakai topeng muka, menjaga jarak fizikal, mencuci tangan dengan kerap dan menggunakan pensanitasi tangan sebagai amalan kakitangan PPV. Sukarelawan dan kakitangan PPV SICC turut mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
“Di samping itu, susun atur setiap stesen di SICC adalah mengikut SOP, iaitu mengekalkan jarak fizikal tidak kurang daripada satu meter,” katanya.
Bagi yang mempunyai temu janji vaksinasi diingatkan agar tidak cemas dan bimbang kerana semua PPV adalah selamat, dan Kementerian Kesihatan memberi penekanan yang serius terhadap pematuhan kepada SOP bagi membendung penularan virus Covid-19.