Penunggang motosikal maut digilis lori

KOTA KINABALU – Seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun maut selepas digilis sebuah lori 10 tan dalam kemalangan di Jalan Batayan Minintod kelmarin.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, penunggang berusia 22 tahun berkenaan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd. Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Demak EX90 sedang bergerak dari arah belakang lori terbabit semasa kejadian.

“Mangsa bertindak memotong lori berkenaan, namun dikatakan hilang kawalan sebelum terjatuh ke bawah lori. Mangsa digilis sejauh 14 meter bersama motosikalnya di bahagian tayar belakang lori.

“Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya ketika dihubungi.

Mohd. Zaidi berkata, sebuah kenderaan lain yang turut berada di belakang lori berkenaan merakam keseluruhan kejadian itu menggunakan perakam dashcam.

Menurut beliau, rakaman video kejadian tersebut sudah diserahkan kepada pihak polis untuk membantu siasatan lanjut.

Tambah beliau, sampel darah pemandu lori tersebut akan diambil untuk dihantar ke jabatan kimia bagi pemeriksaan kandungan alkohol dan dadah.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *