Penubuhan NAFAS sejak 50 tahun penting kepada usaha tingkat taraf hidup 1 juta ahli peladang

KUALA LUMPUR: Penubuhan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) menjadi sebahagian daripada sejarah penting kepada industri pertanian negara apabila menjadi titik tolak kepada usaha peningkatan taraf hidup dan kedudukan sosioekonomi hampir 1 juta ahli peladang.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata NAFAS merupakan sebuah entiti Pertubuhan Peladang yang sangat komited memperjuangkan kemajuan sosial dan ekonomi golongan petani sejak penubuhannya pada 31 Mac 1972.

Katanya terbaru, hasil keuntungan NAFAS akhirnya dikembalikan kepada ahli Peladang membuktikan NAFAS tidak pernah alpa dalam menjaga kebajikan ahli-ahlinya yang terdiri daripada 279 Pertubuhan Peladang Kawasan dibawah 14 Pertubuhan Peladang Negeri dan NAFAS berperanan sebagai induknya.

“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, tempoh 50 tahun yang dilalui NAFAS telah memperlihatkan betapa usaha keras dalam memastikan kebajikan serta menjaga kesejahteraan ahlinya, sekali gus terus mengembangkan dan memajukan sektor pertanian negara secara keseluruhannya,” katanya ketika melancarkan Jubli Emas 50 Tahun NAFAS di sini, hari ini.

Justeru, katanya, kejayaan NAFAS berkait rapat dan telah banyak membantu menaikkan taraf hidup dan sumber ekonomi Keluarga Peladang dari semasa ke semasa menerusi pelbagai program dan inisiatif dalam memastikan Pertubuhan Peladang sebagai badan perniagaan milik peladang yang bertanggungjawab menyatu dan menggembleng sumber semua ahli.

Katanya ini bagi mencapai matlamat serampang dua mata, iaitu mendapatkan perkhidmatan dalam aktiviti pengeluaran hasil pertanian serta keuntungan daripada perniagaan yang berkait langsung dengan ahli peladang.

Menurutnya melalui pendekatan ini, rangkaian Pertubuhan Peladang di seluruh negara yang bergabung di bawah NAFAS telah berjaya merealisasikan hasrat kerajaan membawa transformasi pertanian supaya menjadi sektor yang moden dan dinamik.

“Saya yakin, dengan sokongan dan komitmen berterusan warga Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) bersama NAFAS dan pemain-pemain industri, kita akan dapat terus memartabatkan sektor agromakanan, selari semangat Keluarga Malaysia.

“Pelbagai pembaharuan dan transformasi yang telah kita laksanakan bagi terus memperkasakan NAFAS dan Pertubuhan Peladang di setiap peringkat,” katanya.

Ronald berkata ini termasuk pindaan Peraturan-Peraturan Pertubuhan Peladang 2021 yang telah mengembalikan semula hak memilih Ahli Jemaah Pengarah kepada ahli peladang sendiri.

Dalam pada itu, beliau berkata seiring dengan sasaran meningkatkan pengeluaran dan bekalan makanan serta meletakkan sektor pertanian sebagai antara penyumbang penting ekonomi negara, pelbagai program dan pendekatan baharu juga telah akan terus dirangka oleh MAFI merentasi semua subsektor agromakanan.

Dalam hal ini, katanya, MAFI turut menyambut baik tekad NAFAS yang pertama iaitu dalam Pembangunan Industri Padi dan Beras.

Justeru, katanya, MAFI menyokong penuh idea NAFAS bagi Pembangunan Pengeluaran dan pengkomersialan Benih Padi Hibrid NAFAS yang dilaksanakan bersama-sama agensi kerajaan berkaitan serta syarikat rakan kongsi bagi manfaat para pesawah seluruh negara yang dijangka bermula pada musim pertama 2023.

Malah, katanya, NAFAS juga telah menjadi salah satu syarikat peneraju bagi Program Smart SBB yang merupakan hala tuju baharu industri padi dan beras negara yang sedang dilaksanakan oleh MAFI bagi meningkatkan produktiviti dalam mencapai Tahap Sara Diri (SSL) beras negara. -SNT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *