Penjara Seni dinobat Bestscreen Play di Limkokwing Youth

Oleh: Ranya Saai

KOTA KINABALU: Kisah benar perjalanan hidup seni seorang bapa yang dilakonkan semula dalam sebuah filem pendek membawa tuah kepada Siti Nursyahirah Mohd Anwar, 24, apabila dinobatkan sebagai pemenang anugerah Bestscreen Play pada Limkokwing Youth International Film Festival pada 15 Februari lepas.

Filem pendek berdurasi 14 minit 19 saat yang bertajuk Penjara Seni itu berjaya mengatasi lebih 50 peserta lain dan melayakkan beliau menerima hadiah berbentuk trofi serta sijil.

Graduan Program Teknologi Visual, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian (FSSK) dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) tidak menjangka akan pencapaiannya itu berikutan beliau harus berdepan saingan hebat dari para peserta antarabangsa yang menyertai pertandingan terbabit.

“Jujur pada masa awal saya mengisi borang pertandingan ni, saya tidak menaruh harapan yang tinggi kerana saya pernah menghantar filem pendek yang sama di pertandingan lain namun tidak berjaya.

“Tetapi saya percaya selagi ada ruang, tidak salah untuk mencuba. Apabila keputusan diumumkan, saya terkejut, gembira dan teruja sekali. Saya bersyukur sebab ini merupakan anugerah pertama saya apatah lagi ia merupakan sebuah pertandingan bertaraf global,” katanya.

Menurutnya, beliau memilih kisah bapanya kerana ia sebuah jalan cerita yang menyentuh hati dan baginya ia perlu diketahui umum untuk memberi inspirasi terhadap mereka yang mempunyai minat dan jalan kehidupan yang sama.

“Saya ingin membuka mata semua masyarakat bahawa pelukis ‘self-taught’ ini sebenarnya wujud. Bakat yang dianugerahkan kepada seseorang itu tidak sepatutnya dinilai dengan darjatnya mahupun pangkat.

“bapa sering menceritakan pengalaman hidupnya dahulu yang mungkin hanya kami sahaja yang tahu, dan saya mulai merasakan bahawa saya patut membuat sesuatu agar dapat membuka mata ramai pihak,” katanya.

Bercerita lebih lanjut mengenai filem pendek itu, ia menceritakan bagaimana bapanya sebagai seorang ahli seni yang mempunyai minat mendalam dalam bidang lukisan.

“Dia sering dimarahi guru di sekolah kerana buku latihan selalu dipenuhi dengan lukisan. Sampai satu masa, bapa saya dimarahi dan diarah keluar kelas kerana menghasilkan satu lukisan di papan tulis.

“Namun, itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berkarya. Diringkaskan cerita, bapa saya menjual kuih untuk membeli peralatan melukis. Semangatnya semakin berkobar-kobar sewaktu berada di sekolah menengah apabila seorang guru dari luar negara telah membeli karya lukisannya dengan harga RM5.

“Apabila meningkat dewasa, dia kemudian memberanikan diri untuk bertanding dalam satu pertandingan lukisan yang disertai ramai pelukis yang profesional dan berpendidikan. Di sini, dia dipandang rendah kerana keadaannya yang miskin dan dikatakan sebagai pelukis kampungan.

“Namun akhirnya dia menang pertandingan itu dan ditawarkan melanjutkan pengajian di London. Apakan daya, sumber kewangan tidak mengizinkan, ayah saya dengan berat hati menolak tawaran tersebut.

“Walau bagaimanapun, bapa saya berjaya membuka sebuah galeri lukisan sendiri,” katanya.

Anak bongsu dari tiga orang adik-beradik itu turut memaklumkan filem pendek itu dihasilkan sebagai salah satu projek tugasan akhir tahun ketika menuntut di UMS.

Dalam pada itu, Siti Nursyahirah turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang membantunya termasuk bapanya, Mohd Anwar Mahmud Chuchu di samping menyatakan harapan agar pertandingan sedemikian lebih banyak dianjurkan.

“Harapan saya agar negara kita Malaysia akan menganjurkan lebih banyak pertandingan-pertandingan kesenian seperti yang dianjurkan Limkokwing University.

“Pada masa sama, saya juga berharap agar pihak kerajaan Malaysia dapat memberikan lebih banyak dana kepada penggiat seni terutamanya kepada pembuat filem kerana terlalu ramai orang yang berbakat di luar sana namun susah untuk menghasilkan karya akibat tidak cukup dana, termasuk saya sendiri. Saya berharap agar kualiti penggiat seni di Malaysia akan terus berkembang maju sehingga setaraf dengan penggiat seni antarabangsa,” katanya.

Dengan tema Celebrating the Creativity of Youth, Limkokwing Youth International Film Festival turut disertai barisan peserta dari negara China, Iran, Pakistan, Brazil, India, Philiphines, Botswana, Swaziland, Syria dan Krygyztan selain peserta dalam negara dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dan tuan rumah Limkokwing University.

Mana-mana individu yang berhajat menonton Penjara Seni dan senarai penuh pemenang semua kategori yang dipertandingkan bolehlah berbuat demkian dengan melayari laman sesawang Limkokwing – Film Festival Winners (filmacademy.com.my).

2 thoughts on “Penjara Seni dinobat Bestscreen Play di Limkokwing Youth

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *