Penghantar makanan motosikal terima sumbangan

KOTA KINABALU: Seramai 20 orang penghantar makanan bermotosikal di sini mendapat perhatian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Sabah yang tampil menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Sumbangan itu berupa barangan produk keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS), produk usahawan tempatan dan produk keluaran Agromas.

Pengarah FAMA Sabah, Ribin Wahid berkata sumbangan itu adalah bertujuan bagi meringankan beban penghantar makanan yang terkesan ketika pandemik COVID19, selain mahu membantu memasarkan produk usahawan tempatan.

“Mereka (penghantar makanan bermotosikal) adalah antara golongan barisan hadapan yang bertugas ketika pandemik COVID19 dan dari pelbagai latar belakang, maka kami terpanggil untuk membantu menyalurkan sumbangan ini.

“Selain itu, melalui sumbangan ini juga kami dapat membantu memasarkan produk usahawan tempatan dimana kami (FAMA) membeli produk-produk keluaran mereka,” katanya.

Tambah Ribin, sumbangan itu adalah termasuk dalam program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) FAMA Sabah.

Sementara itu, penghantar makanan Faizee Darius, 33, merakamkan penghargaan kepada FAMA Sabah atas sumbangan yang diberikan.

“Terima kasih kami ucapkan kepada FAMA Sabah atas sumbangan yang diberikan dan kami amat menghargainya,” katanya.

Bagi Andy Justin, 33, program CSR yang dilaksanakan FAMA Sabah itu adalah usaha murni yang sangat dihargai oleh golongan yang memerlukan.

“Kami rasa amat dihargai dan terharu apabila menerima sumbangan ini yang kami anggap sebagai satu penghargaan kepada kami.

“Semoga sumbangan yang diberikan ini mampu memberi manfaat kepada kami semua dan kami juga berharap mudah-mudah usaha murni ini dapat diteruskan lagi kelak,” katanya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *