Penduduk Tawau panik terkena tempias gempa bumi di Indonesia

Gambar Hiasan

TAWAU: Gempa bumi lemah bermagnitud 4.3 pada Skala Richter yang melanda Tarakan di Indonesia pada 2.09 pagi hari ini menimbulkan panik dalam kalangan penduduk Tawau pada hari ini.

Seorang penduduk Kampung Titingan Blok 5, Yusri Yahya, 49, berkata, seluruh keluarganya yang seramai 10 orang terbangun daripada tidur selepas rumahnya tiba-tiba bergegar beberapa saat.

“Saya dan keluarga bergegas keluar dari rumah kerana ketakutan, jiran-jiran juga berlari keluar dari rumah mereka kerana terkejut akan gegaran itu,” katanya..

Menurutnya lagi, itu kali pertama dia berdepan dengan gegaran yang kuat sehingga rumahnya bergegar.

Sementara itu, seorang penduduk Rancangan Kampung Ranggu, Aminah Parok, 57, berkata, dia turut merasa gegaran selama lima saat ketika menonton televisyen di ruang tamu rumahnya.

“Saya sudah biasa tidur lewat, dan pada pukul 2.10 pagi tadi sambil menonton TV, tiba-tiba saya rasa gegaran kecil dan bumbung zink bergegar-gegar seperti hendak tercabut, tetapi ketika itu saya tidak fikir apa-apa dan saya tutup sahaja TV dan masuk ke dalam bilik untuk tidur,” ceritanya.

Dalam kejadian lain, seorang penduduk Sungai Pancang, Sebatik, Umar, 50, yang tersedar daripada tidur kerana terkejut apabila merasakan gegaran di rumahnya.

“Gegaran itu hanya dirasai sekali, dan hanya seketika. Selepas menyedarinya, saya masih berbaring di atas katil, tiada apa-apa yang rosak dan syukur tiada perkara buruk berlaku,” katanya lagi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di Tawau, ketika dihubungi, berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan kecemasan mengenai gegaran berkaitan gempa itu.

Jabatan Meteorologi dalam satu kenyataan berkata pusat gempa itu terletak di 3.8 darjah utara dan 117.6 darjah timur, iaitu 79 km barat daya Tawau di Sabah dan gegaran dirasai di Tawau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *