Penduduk jalani kehidupan lebih selamat sejak ada ESSCom

LAHAD DATU: Penduduk di sekitar Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) menjalani kehidupan harian dengan rasa lebih selamat dan mereka yakin perkara itu akan berterusan dengan kewujudan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom).

Menurut mereka, keyakinan itu disandarkan dengan komitmen serta dedikasi pasukan keselamatan terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang bersama-sama menjaga keselamatan dan kedaulatan di bawah payung ESSCom.

Ahli Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bakapit di sini, Mohd Shah Abd Hassan, berkata rondaan kerap dilakukan pasukan keselamatan sama ada di darat dan laut meyakinkan penduduk untuk keluar mencari rezeki meskipun pada lewat malam.

“Sebelum ada ESSCom, penduduk kampung takut-takut keluar cari rezeki kalau sudah lewat disebabkan kedudukan kampung yang hampir dengan laut, (tetapi kini) pasukan keselamatan komited mengawal keselamatan,” katanya kepada Bernama.

Mohd Shah, 55, berkata jalinan kerjasama komuniti Kampung Bakapit dan pasukan keselamatan juga membantu mengukuhkan keselamatan melalui perkongsian maklumat.

Bagi JPKK Kampung Remang Juliana Binjin pula menganggap inisiatif kerajaan menubuhkan ESSCom itu umpama memberi peluang kedua untuk hidup sejahtera kerana kejadian pencerobohan pengganas di Tanduo pada 2013 menimbulkan trauma kepada penduduk Lahad Datu.

“Ada ESSCom ini rasa lebih terjamin, kerana kita nampak mereka bekerja,” katanya lagi.

Juliana, 48, turut mencadangkan kepada kerajaan agar dapat mempertimbangkan pewujudan pos kawalan ESSCom di pesisir pantai.

Begitu juga peniaga kedai runcit di Kampung Ulu Segangan di sini Abd Hamid Abd Rasyid, 58, yang mencadangkan pos keselamatan di perkampungan atas air dapat diwujudkan bagi membanteras sebarang penyamaran penjenayah rentas sempadan menjadi penduduk kampung.

“Kalau kita lihat dari segi statistik sebelum ini, ESSCom berjaya mengekang beberapa cubaan menculik. Bila berlakunya penculikan, itu tidak bererti ESSCom tidak lagi berkesan.

“Sebaliknya kita perlu tokok tambah kekurangan untuk memantapkan lagi kawalan di ESSZone agar tidak mudah dibolosi termasuk pendatang haram,” katanya.

Menurut Abd Hamid, ESSCom sentiasa relevan untuk menjalankan tanggungjawab menjaga keselamatan di perairan ESSZone dan pihak tertentu jangan mempolitikkan usaha kerajaan melalui pasukan keselamatan menjaga kedaulatan negara.

Di Semporna, pengusaha rumpai laut Manan Aliraman, 50, dari Pulau Menampilik pula berkata nikmat keselamatan yang dikecapi rakyat di Semporna tidak datang sendiri sebaliknya ia melalui usaha bersungguh-sungguh dan berterusan pihak kerajaan.

“Semporna suatu ketika dahulu dikenali sebagai daerah yang begitu ditakuti untuk dikunjungi masyarakat luar kerana wujud ancaman keselamatan di sini, tapi sekarang, lihatlah banyak pelancong mahu ke sini,” katanya.

Malahan menurut Manan, keamanan itu juga memudahkannya untuk keluar mencari sumber rezeki seperti ke laut bagi menanam serta menuai rumpai laut. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *