Penduduk di kawasan PKPD tidak dipinggirkan: MPT

TAWAU: Semua penduduk di 20 lokaliti yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini menerima bantuan bakul makanan yang disediakan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, tidak timbul isu ada penduduk yang dipinggirkan dari mendapat bantuan berkenaan di kawasan yang terlibat.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Arnold Joibi berkata, sejak 1 April lepas, sebanyak 8,572 bakul makanan sudah diagihkan ke kawasan berkenaan membabitkan seramai 7,372 ketua isi rumah.

Menurutnya, penduduk di lokaliti Kampung Muhibbahraya/Jalan Morell turut menerima sebanyak 540 bantuan bakul makanan. Ia adalah kawasan berlakunya demonstrasi enam individu yang mendakwa ahli keluarga mereka tidak mendapat bantuan bakul makanan.

Arnold berkata, pelaksanaan PKPD dilanjutkan di tiga lokaliti iaitu Kampung Muhibbahraya/Jalan Morell, Bandar Sri Indah dan Kampung Titingan.

Justeru katanya, bantuan bakul makanan tambahan akan diagihkan ke kawasan terbabit bermula hari ini (26 April).

“MPT sentiasa memantau keadaan dan menghantar bantuan di kawasan yang terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Dalam pada itu jelasnya, pergerakan MPT perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) yang ketat kerana Tawau mencatat jumlah kes baharu COVID-19 tertinggi secara konsisten. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *