Pembinaan jalan Kalabakan-Serudong tingkat ekonomi sempadan – Bung Moktar

TAWAU, 9 Jan — Pembinaan jalan raya sepanjang 39 kilometer (km) dari Kalabakan dekat sini hingga sempadan Malaysia di Serudong yang akan menghubungkan jalan ke Simanggaris di Kalimantan, Indonesia, dilihat mampu meningkatkan ekonomi sempadan.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata projek pembinaan itu penting selari dengan pemindahan ibu negara Indonesia ke Kalimantan dan bakal menjadi pengubah keadaan kepada pembangunan dan pendapatan rakyat tempatan di Sabah.

“Saya sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) bahawa projek itu perlu segera dilaksanakan sebab ia akan memberi impak atau game change kepada rakyat Sabah termasuk dalam bidang ekonomi dan pelancongan.

Saya percaya ia juga bantu pertingkat pembangunan di Sabah dan mungkin dengan adanya game change ini, Sabah akan terkeluar daripada kemiskinan, sebab itu saya dan pasukan melawat sendiri beberapa jajaran yang boleh digunakan untuk cadangan projek ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat projek Empangan Air Cinta Mata di Gudang Empat di sini hari ini.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata pendekatan pembinaan itu juga bagi memudahkan akses rakyat di kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Indonesia selain meningkatkan mutu keselamatan sempadan.

Sementara itu, katanya projek Empangan Air Cinta Mata di Gudang Empat bernilai lebih RM400 juta kini dalam proses untuk disiapkan sebelum hujung 2024 sekali gus dapat membekalkan air bersih kepada hampir seluruh penduduk Tawau.

Projek ini tergendala akibat pelaksanaan beberapa kali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pekerjanya juga melibatkan pekerja asing yang memerlukan permit kerja namun segala permasalahan itu diselesaikan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mahu air bersih dapat dibekalkan secara manual kepada penduduk terjejas air dengan Jabatan Air Negeri Sabah mengambil inisiatif seperti menghantar lori tangki air.

“Kita juga minta agar Jabatan Air menggunakan kontraktor air menghantar air ke kawasan terjejas, selain itu saya mencadangkan agar wakil rakyat setiap kawasan terjejas agar menggunakan peruntukan kawasan untuk mewujudkan satu stesen menempatkan tangki air.

“Misalnya, dalam satu stesen ada 10 tangki air dan lori tangki air boleh hantar air tiga kali dalam seminggu, seterusnya penduduk boleh mengambil air di stesen terlibat, saya tahu penduduk tanggung beban dan tekanan dengan masalah air,” katanya.

Bung Moktar berkata kerajaan sedang berusaha melaksanakan pelbagai projek pembinaan berkaitan air untuk dinikmati oleh rakyat.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published.