Pembaikan pasca banjir akan disegerakan – Fairuz

KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan memberi jaminan akan mempercepatkan usaha pembaikan pasca banjir khususnya yang berlaku di Pintasan demi memastikan aktiviti seharian penduduk untuk kembali seperti sedia kala.

Menurutnya, selepas banjir, pasti akan ada kerosakan khasnya yang melibatkan jalan utama yang menjadi penghubung bagi kampung-kampung kecil ke pekan Kota Belud.

“Biasanya bila banjir, pasti masalah akan timbul, terutamanya yang melibatkan kerosakan jalan, jambatan dan titi yang sememangnya menjadi penghubung kepada penduduk di kampung untuk keluar menjalankan aktiviti harian seperti bekerja, berniaga atau membeli barang keperluan.

“Macam apa yang berlaku depan saya kini, di Kampung Sarang yang mana jalan ini adalah jalan yang menjadi laluan harian penduduk, namun runtuh dan rosak kerana banjir, air sungai yang deras ini sememangnya merosakkan struktur jalan dan perlu segera dibaiki demi memudahkan pergerakan penduduk kampung,” katanya ketika lawatan beliau ke Kampung Sarang, Sabtu lepas.

Fairuz juga akan membawa hal terbabit untuk diberi perhatian oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dengan kadar segera.

“Saya amat yakin, kerajaan negeri akan bertindak secepatnya, JKR Sabah juga pasti akan bertindak segera, dengan pimpinan Menterinya, Datuk Seri Bung Moktar yang memang kita yakin amat berkredibiliti dan amat cekap menyelesaikan masalah rakyat khasnya bagi masalah infrastruktur.

“Usaha kerajaan negeri dibawah pimpinan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan melakukan segalanya yang termampu demi memastikan apa sahaja kerosakan infrastruktur seperti jalan di Kampung Sarang yang rosak akibat banjir ini, diatasi dengan kadar sesegera mungkin,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *