Pelancaran Inisiatif Pembedahan Mass Cleft 2022 memberi sinar baharu kepada pesakit di Tawau

TAWAU: Majlis pelancaran Inisiatif Pembedahan Mass Cleft 2022 telah dilaksanakan di Hospital Tawau, hari ini (09 Ogos) dan telah dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Shahelmey Yahya.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin, yang menjelaskan bahawa majlis pelancaran itu bertujuan mengurangkan beban tertunggak Jabatan Pembedahan Mulut dan Maksilofasial di Tawau.

Sewaktu pelancaran itu juga, seorang bapa, Aco Beddu Asse, 38, bersyukur bahawa jadual pembedahan pembetulan buat anaknya kini dijadualkan pada esok hari, setelah penantiannya selama lebih dua tahun.

Anaknya, Alpin Aco, 9, dimaklumkan enggan hadir ke sekolah kerana malu dipersendakan dengan sumbing bibir dan lelangit.

“Saya harap ia akan berjaya supaya dia dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak normal yang lain,” katanya dalam satu kenyataan ketika ditemui.

Menurut Dr Rose Nani, sebanyak 70 pembedahan elektif, termasuk 50 kes melibatkan pembedahan sumbing, telah ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 yang menimpa negara kita.

“Sempena pelancaran program ini, 10 daripada 24 pesakit yang dijadualkan menjalani pembedahan dengan kos RM40,000 akan dibiayai dan ditanggung melalui dana yang disediakan oleh Rotary Club Tanjung Tawau,” jelasnya lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *