Pelan Pemulihan Negara seiring langkah pemulihan Sabah

KOTA KINABALU: Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini bertepatan dengan pendekatan pemulihan kerajaan negeri yang dilaksanakan di Sabah.

Sambil menyokong penuh pelan berkenaan, Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor, berkata pelaksanaannya diyakini dapat membantu negeri dalam memulihkan kesan pandemik COVID-19.

Kerajaan negeri akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan pelan pemulihan yang merangkumi empat fasa itu berjaya dilaksanakan.

“Pelan Pemulihan Negara memang sangat tepat kerana ia sudah pasti dapat banyak membantu dalam pelaksanaan pendekatan pemulihan kerajaan negeri di Sabah,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Dalam perkembangan lain, Hajiji yang juga Menteri Kewangan negeri berkata kerajaan negeri turut menyokong langkah untuk memanjangkan proklamasi darurat selama enam bulan lagi.

Katanya, perkara itu mengambil kira kemungkinan berlaku peningkatan kes COVID-19 di Sabah disebabkan pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya yang perlu diadakan jika darurat ditamatkan nanti.

Sumber Berita : Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *