Pelan Pembangunan Hala Tuju SMJ Mula Buahkan Hasil Positif

KOTA KINABALU: Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilancarkan pada Mac tahun lalu untuk meningkatkan ekonomi dan kesejahteraan rakyat, kini mula membuahkan hasil yang positif.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kejayaan turut dicapai dalam sektor lain seperti sektor pertanian, perindustrian dan pelancongan termasuk pembangunan modal insan untuk memastikan anak-anak Sabah tidak tercicir atau ketinggalan dalam bidang pekerjaan.

“Justeru, saya ingin menyeru semua rakyat Sabah untuk sama-sama menjayakannya, kerana Hala Tuju SMJ bermatlamat untuk memacu pembangunan yang komprehensif bertunjangkan kekuatan jati diri dan keteguhan semangat patriotisme bersesuaian dengan slogan jata negeri iaitu Sabah Maju Jaya”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1444H/2022M di Dewan Sa’adah Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), hari ini.

Yang Di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin merasmikan sambutan itu.

Hajiji berkata, sempena sambutan Maal Hijrah ini, umat Islam dianjurkan supaya sentiasa berusaha meningkatkan potensi dan kualiti segenap aspek bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan kebahagiaan di akhirat.

Menurutnya, walaupun peristiwa hijrah rasulullah kini hanya tinggal nostalgia untuk diambil pengajaran dan iktibar, namun semangat hijrah dan keperluan untuk melakukan perubahan serta pembaharuan ke arah kebaikan sentiasa relevan, terutama ketika negara sedang berdepan pelbagai cabaran akibat pandemik COVID-19.

Beliau berkata, dalam mendepani senario yang amat mencabar masa kini, kita tidak boleh lari daripada fokus memelihara perpaduan rakyat, meningkatkan ekonomi dan membangunkan modal insan bagi meneruskan pembangunan di negeri ini.

“Justeru, saya berharap generasi muda masa depan kita akan terus melakukan yang terbaik dalam memikul amanah sebagai warga yang menjunjung tuntutan agama, bangsa dan negara. Keprihatinan terhadap perkara ini amat penting, kerana harapan dan prospek negara terletak kepada generasi muda yang akan memimpin negara dan negeri ini pada masa akan datang.

“Justeru, hayati dan fahamilah makna disebalik hijrah agar dapat menjadi ummah kreatif dan berinovasi mendepani cabaran semasa serta perkembangan yang terus berlaku. Hijrah suatu keperluan dan ia berlaku sepanjang zaman.

“Antara pengajaran hijrah yang wajar kita hayati dan realisasikan adalah semangat kekeluargaan dan kebersamaan dalam kalangan umat Islam yang dibina Rasulullah SAW melalui tindakan baginda mempersaudarakan kaum Muhajirin dengan kaum Ansar.

“Langkah bijak yang diambil oleh Baginda SAW ini telah mewujudkan perasaan saling berkasih sayang, bantu membantu dan bertolak ansur selain membolehkan umat Islam, perlahan-lahan mentransformasi diri menjadi umat yang bersatu padu, kuat, maju dan makmur”, katanya.

Hajiji berkata, bersempena dengan tema Maal Hijrah 1444 iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, jelas memperlihatkan pentingnya umat Islam kita yang berbilang bangsa, bahasa dan budaya bersatu dalam apa saja keadaan, untuk mencapai matlamat bersama iaitu membentuk sebuah negara yang dapat memperkasakan nilai- nilai kebersamaan di samping menghormati segala perbezaan yang ada.

Menurutnya, intipati tema itu mengajak umat Islam mengingati bagaimana peristiwa hijrah ini memberi impak yang sangat besar dalam sesebuah institusi kerajaan, di mana Rasulullah SAW dapat membentuk kesatuan dan perpaduan umat di dalam masyarakat majmuk yang berbilang kaum.

“Malaysia terutama Sabah sebagai negeri yang mempunyai berbilang bangsa dan agama, sudah pasti perpaduan yang kita nikmati tanpa mengira perbezaan sebagai satu Keluarga Malaysia menjadi pemangkin kepada kemakmuran negeri ini. Ia bukan saja perlu dipertahankan untuk diwarisi anak cucu kita pada masa akan datang, malah sikap saling hormat, mengetepikan sebarang perbezaan dan lihat kepada persamaan yang kita kongsi bersama perlu sentiasa disemat dalam diri”, tambahnya. -SM

Leave a Reply

Your email address will not be published.