PDRM lanjut perintah berkurung di ESSZone

RANTAU PANJANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk mengekalkan perintah berkurung membabitkan perairan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone).

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, perintah berkurung itu membabitkan perairan Tawau, Semporna, Kunak, Lahad Datu, Kinabatangan, Sandakan dan Beluran.

“Kita akan buat kajian dari masa ke masa berkaitan dengan perkara ini.

“Masa saya jadi Komander dan Pesuruhjaya dulu, kita buat cadangan untuk angkat sebahagian (perintah berkurung ini) tetapi dengan keadaan semasa, kita minta kekalkan,” katanya kepada pemberita semasa Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) di Markas Taktikal Lubok Stol di sini pada Isnin.

Pada majlis tersebut, Hazani turut menyampaikan surat-surat penghargaan kepada pengamal media di negeri ini atas liputan yang diberikan kepada penugasan kawalan sempadan Malaysia-Thailand menerusi Op Wawasan Kelantan.

Menurutnya, keputusan itu telah dicapai menerusi mesyuarat pada 22 April lalu dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain.

Beliau berkata, walaupun sudah lama tidak berlaku penculikan dan rompakan laut di Sabah, namun PDRM tetap bersiap sedia dengan sebarang ancaman.

Hazani berkata, tindakan itu selari dengan langkah kerajaan membuka pintu sempadan ketika ini. -Sinarharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *