Pasangan suami isteri dilaporkan hilang

BEAUFORT: Pasangan suami isteri dilaporkan hilang selepas pergi melihat tanah yang hendak dibeli di Kampung Ulu Binsulok, Membakut, di sini, Sabtu lalu.

Mangsa Amir Hamjah Abdul Kahfi, 43, dan isterinya Rita Hijiyah Mohd Syuaib, 43, dikatakan keluar dari rumah mereka di Kampung Sabok Baru, Kinarut, kira-kira 9 pagi hari itu.

Bagaimanapun pasangan berkenaan tidak kembali semula ke rumah selama dua hari dan telefon bimbitnya gagal dihubungi.

Berikutan itu, anak kepada pasangan terbabit membuat laporan di Balai Polis Membakut, 11 pagi, hari ini.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, susulan laporan itu, sepasukan polis kemudian pergi ke lokasi kejadian dan mendapati kereta Perodua Alza disyaki dinaiki pasangan itu berada di tepi jalan Kampung Ulu Binsulok.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) turut dibantu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Pasangan terbabit masih belum ditemukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Sabah dalam kenyataannya berkata, sebaik menerima maklumat daripada polis, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu dikerah ke lokasi kejadian dan melakukan operasi pencarian dengan radius dua kilometer.

“Operasi SAR ditangguhkan pada 5.30 petang dan operasi akan diteruskan pagi esok,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *