NGO belia bekerjasama agih 200 pek bakul makanan di Keningau, Tenom

KOTA KINABALU: Sebanyak 200 pek bakul makanan telah diagihkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Sabah dan Sinergi Gerakan Mahasiswi (SIGMA) Sabah di sekitar Keningau dan Tenom.

Pengerusi GAMIS Sabah, Mhd Asisal berkata agihan pek bakul makanan yang dilakukan selama dua hari itu dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak.

“Misi kali ini menyasarkan golongan yang memerlukan di beberapa buah tempat selama dua hari berjaya mengedarkan 200 pek bakul makanan dengan kerjasama pelbagai pihak terutamanya Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Malaysia Keningau dan Tenom, pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan daripada Pertubuhan Kasih Neelofa.

“Selain itu, GAMIS Sabah juga mendapat kerjasama daripada Persatuan Siswazah Sabah Cawangan Keningau dalam membantu edaran dan pembungkusan bakul makanan sebelum diedarkan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Sementara itu, Asisal turut berkata pengagihan pek bakul makanan terbabit dilakukan di beberapa kawasan kampung yang membabitkan dua daerah terbabit.

“Tempat agihan meliputi kawasan Sook (Kampung Mapila), Nabawan, Keningau iaitu Kampung Merampung, Kampung Kitung dan Kampung Ulu Tepoh pada hari pertama.

“Misi hari kedua pula meliputi kawasan Tenom iaitu Kampung Kelanaan, Kampung Jawa Sumbiling, Kampung Melalap estate, Kampung Pemiliaan, Kampung Pulong, Kampung Ketipoh, Kampung Pangangason, Kampung Keritip, Kampung Ulu Oloson.

“Di sekitar kawasan Kemabong pula membabitkan Kampung Tinura, Kampung Lalang, Kampung Kaliwata, Kampung Ulu Tomani, Kampung Kuala Tomani, Kampung Sinilaung dan Kampung Tolokoson.

“Edaran kali ini menyasarkan golongan perlu seperti warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU), hidup sebatang kara, sakit lumpuh dan golongan miskin melalui kaedah ziarah rumah ke rumah (home visit) dan secara berkumpul melalui pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang dibenarkan,” katanya.

Asisal turut berkata pelaksanaan agihan terbabit turut dibantu Kelab Sains Sukan UMS melalui presidennya memberi sumbangan kepada GAMIS Sabah hasil kutipan daripada yuran penyertaan E-Sport anjuran kelab tersebut setelah dipersetujui oleh semua peserta.

“Ini adalah perkara yang baik untuk dijadikan sebagai ikutan kerana berkebajikan dalan penganjuran.

“Terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang menyumbang, pihak UMS yang memberi kepercayaan kepada mahasiswa UMS dalam GAMIS Sabah untuk mengurus edaran sumbangan yang diperolehi melalui Pertubuhan Kasih Neelofa dan semua yang terlibat dalam misi kali ini.

“Sekiranya diberi peluang, GAMIS Sabah yakin, aktiviti ini iaitu perkara kebajikan akan diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *