MP Tawau: Lagi seminggu dua saya balik beri bantuan makanan

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tawau Christina Liew berkata, dia kini dalam proses mempersiapkan 2,000 bantuan makanan bagi kawasan parlimennya.

Namun, jelasnya, ia hanya boleh diedarkan dalam seminggu dua lagi. “Lagi seminggu dua saya akan balik Tawau, dan saya akan berikan kepada mereka,” kata Liew kepada Malaysiakini hari ini.

Dia berkata demikian setelah ditanya nasib penduduk di Kampung Muhibbah Raya, Tawau yang merupakan salah satu kawasan di daerah itu yang dikenakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) yang dilanjutkan sehingga Mei 8.

Susulan kekecewaan penduduk berhubung pelanjutan PKPD, beberapa individu mengadakan protes aman semalam yang membawa kepada penahanan aktivis Borneo Komrad serta lima lagi yang dipercayai penyokong dan orang kampung.

“Mungkin mereka sewajarnya berhubung dengan pegawai saya dahulu sebelum berbuat demikian.

“Apa-apa pun saya lega mereka ada peguam. Peguam mereka tahu apa yang perlu dilakukan,” kata Pengerusi PKR Sabah itu.

“Saya konsisten berikan bantuan makanan kepada warga Tawau dan susulan peningkatan penularan Covid-19, saya kini mempersiapkan lagi dalam 2,000 bungkus (bakul makanan),” katanya.

Liew juga berkata, dia telah mengarahkan empat pegawai yang bertugas di pusat khidmat parlimen Tawau untuk menyiasat protes tersebut dan sedang menunggu maklum balas mereka.

“Saya telah arahkan pegawai saya untuk mendapatkan maklumat jelas sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan,” katanya.

Terdahulu, aktivis Sabah dan penduduk Tawau, Rahman Imuda membuat hantaran di Facebook berserta gambar tangkap layar mesejnya di WhatsApp kepada Liew yang tidak dibalas.

“Sebenarnya sepanjang pandemik Covid-19, saya tidak melihat usaha yang jelas, sebagai wakil rakyat Tawau untuk membantu mereka yang memerlukan.

“Aku sarankan kepadanya, jika tidak dapat membela rakyat Tawau di waktu susah, jangan bertanding di Tawau lagi,” kata Rahman.

Ketika dihubungi Rahman mendakwa Liew tidak selalu berada di Tawau dan hanya melihatnya ketika pilihan raya negeri (PRN) Sabah, pada September tahun lalu.

“Kami tak pernah nampaknya sama sekali,” tambahnya.

Kesemua tujuh individu yang ditahan polis kerana terlibat dalam protes pelanjutan PKPD di Kampung Muhibbah Raya di Tawau, Sabah direman selama dua hari mulai pagi tadi.

Menurut peguam yang mewakili mereka, Raymond Guok, kes disiasat mengikut akta disiasat di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman, Seksyen 188 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam) dan Seksyen 25 Ordinan Darurat yang memperuntukkan kompaun sebanyak RM10,000. – Malaysia Kini

Leave a Reply

Your email address will not be published.