MKN Sabah serah empat PTS kepada Jabatan Imigresen Malaysia

PAPAR: Sebanyak empat Pusat Tahanan Sementara (PTS) di Sabah yang diselia oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah telah diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), hari ini.

Pengarah MKN Sabah, Sitti Saleha Habib Yussof, berkata tujuan utama penyerahan PTS kepada JIM adalah di atas kerelevanan JIM sebagai pengurus di PTS dari segi aspek perundangan dan kewajipan
mematuhi Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002).

“Ia merupakan undang-undang terpakai dalam pengurusan tahanan serta membolehkan institusi ini beroperasi secara sah di bawah akta tersebut.

“Selain itu juga, pengurusan di PTS akan dapat diseragamkan memandangkan mekanisme sedia ada mengenai pengurusan depot tahanan di seluruh negara telah lama diwujudkan dan dikendalikan oleh pihak JIM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini selepas Majlis Rasmi Penyerahan PTS dari MKN kepada JIM bertempat di PTS Papar, di sini, hari ini.

Majlis terbabit telah disempurnakan oleh Setiausaha Persekutuan Negeri Sabah, Datuk Samsuni Mohd Nor.

Dalam pada itu, Sitti Saleha turut berkata
sejak tahun 1993, MKN Sabah telah
menyelia semua PTS yang ada di negeri ini bermula dengan PTS Tawau.

“Kemudian diikuti PTS Sandakan pada tahun 1994 kemudiannya pemindahan lokasi dengan dikenali PTS Sibuga pada tahun 2010 manakala pengoperasian di PTS KK pada tahun 1999 dan yang terakhir PTS Papar pada tahun 2009.

“Pada tahun 2006, MKN telah mengambil alih pengurusan PTS secara keseluruhan yang merangkumi penyeliaan pentadbiran, pengurusan logistik dan kawalan
keselamatan melalui pengwujudan jawatan kader Pengawal Keselamatan dari agensi Pengawai Keselamatan Kerajaan
Malaysia (CGSO).

“MKN Sabah percaya dengan penyerahan pengurusan PTS itu akan menambah baik dan memantapkan pengurusan tahanan pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah,” katanya.

Tamat

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *