Menara telekomunikasi di Telupid dibaik pulih berperingkat

CYBERJAYA: Insiden menara telekomunikasi di daerah Telupid, Sabah yang terbakar pada 25 Mac lalu sedang dibaik pulih secara berperingkat.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil maklum dan bersimpati mengenai kisah seorang pelajar semester enam yang terpaksa memandu sejauh 10 hingga 15 kilometer demi mencari liputan internet dan belajar dalam bonet kereta selepas kejadian itu.

PELAJAR UPSI berdepan kesukaran untuk mengikuti ODL selepas menara telekomunikasi di daerah Telupid, Sabah rosak kerana terbakar. – GAMBAR MEDIA SOSIAL

Katanya, insiden berkenaan turut menjejaskan liputan internet di beberapa kawasan berhampiran Pekan Telupid.

“SKMM bersama pihak penyedia perkhidmatan sedang berusaha membaik pulih menara tersebut secara berperingkat.

“Sehingga kini, perkhidmatan Digi telah pulih dan beroperasi seperti biasa manakala bagi perkhidmatan Celcom dan Maxis pula dijangka pulih dan beroperasi dalam tempoh dua minggu lagi,” katanya hari ini.

SKMM pada masa sama menasihatkan kepada semua pelajar dan masyarakat setempat agar sentiasa mementingkan keselamatan diri.

Sebagai langkah sementara, katanya, penduduk setempat boleh mengunjungi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) yang berada di Pekan Telupid untuk mendapatkan liputan internet di tempat yang lebih selamat dan selesa.

“Ia sehingga proses baik pulih selesai dijalankan dan menara telekomunikasi tersebut beroperasi seperti biasa tidak lama lagi,” katanya.

Sebelum ini tular kisah seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berdepan kesukaran untuk mengikuti Pembelajaran Jarak Jauh (ODL) selepas menara telekomunikasi di daerah Telupid, Sabah rosak kerana terbakar.

Anis Arina Aqilah Roslee, 23, yang kini berada di semester enam Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Sosial memberitahu, sejak kejadian itu, dia terpaksa memandu keluar dari kampungnya bagi mencari talian telekomunikasi dan internet.

Malah katanya, dia pernah memandu sejauh 130 kilometer bagi mendapatkan rangkaian internet kerana perlu mengikuti kelas dalam talian. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.