Mayat ditemui di Karambunai, disyaki mangsa lemas
KOTA KINABALU: Pencarian seorang pemuda yang dikhuatiri lemas di Pantai Nexus, Karambunai sejak tiga hari yang lalu berakhir dengan penemuan satu mayat seorang lelaki pagi tadi.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli bin Abdullah memaklumkan Bot Kilat 39 Maritim Malaysia yang melaksanakan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah menemui satu mayat dalam keadaan terapung pada jam 9.40 pagi tadi di kedudukan sekitar 2 batu nautika dari Pantai Nexus.
Mayat tersebut seterusnya dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar dan tiba pada jam 12.10 tengahari tadi. Pihak keluarga mangsa telah mengesahkan bahawa mayat yang ditemui itu merupakan mangsa yang hilang dan mayat seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1, Kota Kinabalu bagi tujuan bedah siasat.
Mangsa, Yusof bin Sihud, 19 tahun dari Kampung Lokok, Sepanggar hilang serta dikhuatiri lemas ketika mandi bersama rakan-rakannya di Pantai Nexus, Karambunai pada pagi 3 Januari yang lalu. Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) telah diaktifkan pada hari yang sama.
Operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.00 petang tadi. Pencarian selama tiga hari meliputi keluasan sektor pencarian seluas 140 batu nautika persegi dengan melibatkan 6 aset laut daripada pelbagai agensi seperti Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, dengan kekuatan seramai 50 orang pegawai dan anggota. Operasi SAR turut mendapat bantuan dari Pasukan Gerakan Udara PDRM yang menggunakan dron bagi mengesan serta mencari mangsa melalui udara.
Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kota Kinabalu merakamkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada semua agensi yang telah terlibat sepanjang tiga hari operasi SAR ini berlangsung sehingga membawa kepada penemuan mangsa.
Maritim Malaysia menasihati masyarakat terutama komuniti maritim setempat untuk melaporkan sebarang kecemasan yang berlaku di perairan negeri Sabah dan W.P Labuan kepada Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan W.P Labuan di talian 088-387774 atau kepada talian kecemasan MERS 999.