Masyarakat digesa peka pada golongan OKU

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin menyeru semua pihak untuk lebih peka dengan keadaan golongan istimewa yang mengalami masalah kekurangan dari segi fizikal dan mental.

Katanya, masyarakat perlu sentiasa memberi sokongan moral dan bantuan sewajarnya kepada golongan istimewa terutamanya kepada keluarga yang menguruskan anak-anak istimewa.

“Wajar kita beri perhatian kepada mereka kerana bukan mudah untuk menguruskan anak-anak istimewa yang mempunyai masalah seperti ‘down syndrome’, autisme, disleksia, masalah lambat dalam pembelajaran atau lambat pertuturan.

“Mereka yang istimewa ini mungkin mempunyai kekurangan dari segi fizikal atau minda namun sebenarnya mereka adalah jambatan yang mampu menghubungkan kita kepada ganjaran pahala yang besar dari Tuhan dan anak-anak istimewa ini mampu menyumbang kepada masyarakat jika mereka dididik dan dipupuk dengan sumber pengajaran dan terapi yang berkesan,” katanya.

Amisah berkata demikian dalam satu kenyataan media selepas sesi kunjungan dan ziarah mesra di Bukit Harapan, Jalan Tuaran Bypass, di sini, pagi tadi.

Amisah yang juga merupakan Ketua Srikandi Bahagian Ranau juga berkata golongan istimewa itu memerlukan penjagaan khas bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan seharian sebaik mungkin.

“Mereka memerlukan pendidikan khas agar keistimewaan dan kebolehan yang dimiliki oleh mereka dapat dicungkil dan dimanfaatkan sekaligus membolehkan mereka turut menyumbang kepada pembangunan negara.

“Aspek penting yang saya rasakan perlu diteliti khasnya oleh pihak kerajaan adalah agar golongan istimewa ini dijaga sebaiknya oleh pihak bertanggungjawab dan tidak dianggap sebagai beban kerana mereka adalah sebahagian daripada kita dan tidak wajar untuk disisihkan daripada arus perkembangan dan permodenan teknologi semasa,” katanya.

Jelasnya lagi, persekitaran yang harmoni mampu dibentuk oleh semua pihak jika kerjasama erat dijalinkan.

Dalam kunjungan terbabit, Amisah menyampaikan sumbangan berupa barang keperluan penjagaan diri, makanan dan cek kepada penghuni Bukit Harapan.

Bukit Harapan dihuni oleh 45 penghuni golongan istimewa terdiri daripada kanak-kanak istimewa dan ibu tunggal dimana telah mula beroperasi sejak 9 Januari 1989 di Keningau kemudian berpindah ke lokasi terkini di Menggatal pada tahun 2007.

Bukit Harapan telah diasaskan oleh Datuk Anne John P. Arulnasalam Keyworth dan kini diselia oleh Audra Keyworth serta Jerry Kamijan.

Orang ramai yang berhasrat menyampaikan sumbangan kepada Bukit Harapan boleh menghubungi di talian 088424567 atau 0138656622 (Jerry).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *