Masih banyak ingin kami lakukan – Fairuz
KOTA BELUD: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan, Fairuz Renddan menjelaskan Skuad Prihatin DUN Pintasan masih ingin melakukan banyak perkara terutamanya dalam menguruskan permasalahan rakyat di kawasan itu.
Katanya, masalah utama yang sering menjadi kesukaran dan merumitkan rakyat di kawasan Pintasan adalah masalah banjir.
“Pintasan turut dilanda masalah banjir dan semua yang berada di sini akan terkesan setiap kali berlakunya hujan lebat berterusan dan banjir yang menjejaskan kediaman mereka, tanaman yang diusahakan, haiwan peliharaan dan ditambah masa kini dengan arahan daripada pihak kerajaan iaitu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana pandemik COVID-19.
“Untuk inilah pasukan Skuad Prihatin DUN Pintasan ingin lakukan banyak perkara yang kami mampu untuk semua rakyat di Pintasan, membantu mengurangkan bebanan yang dialami mereka, memberikan sumbangan dari segi keperluan asas dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Fairuz yang juga merupakan Ketua ARMADA
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU)
Sabah berkata, usaha berterusan Skuad Prihatin DUN Pintasan akan sentiasa memfokuskan usaha mereka dari sudut kebajikan rakyat.
“Kita fokuskan untuk memastikan segala keperluan dan aspek kebajikan rakyat Pintasan dijaga dan diambil kira kerana kita seboleh-bolehnya mahu memastikan semua rakyat kita terus bertahan walaupun berdepan ujian dan musibah yang tidak dijangka.
“Sebagai ADUN Pintasan, sudah tentu saya mahu lebih kerap turun padang mendekati dan melihat sendiri masalah yang dihadapi oleh rakyat Pintasan, sekaligus saya usahakan untuk menyelesaikannya dengan keupayaan saya,” katanya.
Dalam pada itu, Fairuz juga turut memberitahu bahawa Skuad Prihatin Pintasan masih terus mengagihkan bantuan bakul makanan, pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan air minuman untuk semua mangsa terjejas akibat banjir.
“Skuad kita seramai 32 orang, setiap hari berkunjung ke seluruh kawasan Pintasan, memberikan sumbangan bakul makanan dan sehingga hari ini, kita telah mengagihkan sumbangan kita kepada lebih 700 buah kediaman dan akan diteruskan lagi pada hari-hari seterusnya.
“Dalam kunjungan bersama Skuad Prihatin Pintasan juga, saya berpeluang untuk lebih dekat dengan rakyat dan mereka juga turut senang mendekati saya dan meluahkan segala permasalahan dan keperluan mereka yang dirasakan perlu untuk diwujudkan.
“‘Misalnya semasa saya bersama Skuad ke Masjid Kampung Rudang, saya turut berbincang bersama iman masjid itu untuk usaha-usaha menaik taraf masjid itu dan sememangnya inilah yang mahu saya lakukan, menaiktaraf kemudahan di rumah ibadat di seluruh Pintasan,” katanya.
Tamat