Masalah internet di DUN Apas diberi keutamaan dalam program JENDELA
TAWAU : Masalah liputan internet di beberapa kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas diberi keutamaan dalam program Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan.
Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata pihaknya sudah menulis surat kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Saifuddin Abdullah berhubung perkara ini.
“Kita sudah pun mendapat maklum balas positif daripada kementerian itu dan semua permohonan yang diutarakan telah diluluskan.
“Melalui program JENDELA itu, sebanyak sembilan kawasan di DUN Apas diberi keutamaan untuk menaik taraf menara komunikasi sedia ada dan membina menara baharu,”katanya
Beliau berkata demikian semasa menyampaikan sumbangan komputer riba dan mesin cetak kepada Taman Bimbingan Kanak-Kanak Kemas Kampung (Kg) Wakuba, di sini semalam.
Mengulas lanjut, katanya, sebanyak sembilan kawasan yang mempunyai masalah tersebut termasuklah Kg. Inderasabah, Apas Parit, Wakuba, Batu Payung, Tinagat dan beberapa kampung lagi akan diberi keutamaan.
Menurutnya, kerajaan sangat prihatin dalam membantu rakyat dan memandang serius soal keperluan yang mendesak terutamanya masalah pembelajaran pelajar sekolah sejak penularan wabak COVID-19.
“Kerajaan sedia maklum, kebanyakan pelajar di sini berdepan masalah internet semasa melakukan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rmah (PdPR).
“Oleh itu, program JENDELA dilaksanakan dengan segera dalam membantu pelajar di kawasan-kawasan yang mempunyai masalah tersebut terutamanya di luar bandar,”katanya
Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas berkata, pihaknya sangat bersyukur kerana kerajaan sekarang menjalankan amanah dengan sebaiknya dalam membantu rakyat.
“Sekiranya naik taraf menara komunikasi ini dilaksanakan dalam masa terdekat, masalah internet akan dapat diselesaikan tidak lama lagi,”katanya
Mengulas mengenai bantuan yang diberikan itu, Nizam berkata ianya merupakan inisiatif pihaknya dalam membantu melancarkan proses PdPR yang sedang dilaksanakan.
“Sejak akhir tahun lalu, pejabat ADUN Apas sudah menyampaikan 80 komputer riba kepada pelajar yang kurang berkemampuan.
“Dalam masa terdekat ini, sepuluh lagi komputer riba akan disampaikan kepada pelajar yang sudah dikenal pasti di DUN Apas,”katanya