Majlis Tilawah al-Quran Sabah bakal berlangsung Mac depan

MEMBAKUT: Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Sabah dijangka akan diadakan pada 4 dan 5 Mac depan.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, walau bagaimanapun pihaknya akan meneliti keadaan dan situasi semasa ketika pandemik COVID19 ini untuk pelaksanaan majlis terbabit.

“Kita akan lihat keadaannya. Sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih dilaksanakan, kita akan adakan majlis berdasarkan standard piawaian operasi (SOP) atau prosedur yang telah ditetapkan.

“Jika itu terjadi, kita hanya adakan majlis yang akan melibatkan peserta, hakim serta jawatan kuasa sahaja bagi memenuhi syarat dalam memilih peserta qari dan qariah kebangsaan.

“Seramai 24 peserta akan menjalani ujian saringan sebelum pemilihan enam qari dan enam qariah untuk setiap enam bahagian diumumkan.

“Selain itu, kita juga telah membuat persiapan majlis di peringkat bahagian kemudian peringkat negeri yang akan diadakan di Kota Kinabalu. Ini juga adalah untuk persiapan Majlis Tilawah al-Quran peringkat Kebangsaan pada Jun nanti, yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Kecil Membakut bertempat di Dewan Kesenian Islam Membakut, di sini, hari ini.

Sementara itu, Arifin turut berkata pihaknya berharap pelaksanaan Majlis Tilawah al- Quran sedemikian mampu menjadi sebahagia daripada cara untuk semua kekal tabah menghadapi ujian Tuhan ketika pandemik menerusi pendekatan agama dan kerohanian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *